Home Dunia Operasi menyelamat Aquarius berakhir

Operasi menyelamat Aquarius berakhir

Aquarius, Kapal penyelamat pendatang haram di Laut Mediterranean. foto Agensi

GENEVA – Organisasi kemanusiaan Medecins Sans Frontieres (MSF) atau Doktor Tanpa Sempadan telah dipaksa untuk mengakhiri operasi menyelamat di Mediterranean yang menggunakan kapal, Aquarius.

Ia medakwa serangan berterusan terhadap kerja-kerja kebajikan yang dilakukan badan itu dibuat oleh negara-negara Eropah.

Aquarius telah tersadai di Marseille sejak pendaftarannya dibatalkan.

Kapal itu telah digunakan selama ini untuk membantu migran menyeberangi perairan ke Eropah melalui Libya, yang mana dibantah oleh Itali.

Menteri Dalam Negeri Itali, Matteo Salvini menuduh organisasi itu telah bekerjasama dengan pihak yang terlibat dalam operasi pemerdagangan manusia membawa pelarian keluar dari Libya ke pelabuhan-pelaaabuhan Itali.

Aquarius merupakan kapal kebajikan yang masih beroperasi.

Mengumumkan keputusan untuk menamatkan operasinya, MSF berkata, negara-negara Kesatuan Eropah (EU), yang diterajui oleh Itali, telah gagal menyediakan kapasiti menyelamat yang khusus untuk mereka sendiri, kemudian secara aktif mensabotaj usaha orang lain yang cuba menyelamatkan nyawa di Mediterranean.

Kapal yang tidak memiliki permit tidak boleh secara sah berlayar, kata MSF.

Dalam satu tweet, MSF Sea berkata “serangan yang berterusan” oleh negara-negara Eropah bermakna lebih banyak kematian di laut, dan lebih banyak kematian berlaku tanpa disedari.

MSF mendakwa Itali telah terus menerus memberi tekanan kepadanya.

Bulan lalu, pendakwa raya Itali menyita Aquarius atas dakwaan melakukan lambakan sisa berpotensi toksik di pelabuhannya.

MSF menyifatkan dakwaan itu tidak berasas dan berniat jahat.

Bilangan pendatang ke Itali menyusut dengan ketara pada tahun ini ekoran peningkatan rondaan oleh pengawal pantai.

Data Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) berkata, lebih daripada 2,000 orang telah meninggal atau hilang semasa menyeberangi perairan pada tahun ini banding lebih daripada 3,000 tahun lepas. – MalaysiaGazette