Home Ekonomi Perodua serah 50 Myvi kepada bomba Perak, IPT

Perodua serah 50 Myvi kepada bomba Perak, IPT

Myvi, model terlaris Perodua.

KUALA LUMPUR – Perodua akan menyumbang 50 buah Myvi kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak serta 25 institusi pengajian tinggi di seluruh negara untuk kegunaan dalam latihan dan penyelidikan.

Sumbangan itu menjadikan ia antara penyerahan kenderaan terbesar yang pernah dilaksanakan oleh syarikat tersebut.

Institusi pendidikan tinggi yang menerima kenderaan itu termasuk universiti serta institusi vokasional, teknikal,
latihan industri dan kemahiran belia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, syarikat itu menyumbang tujuh buah Myvi generasi terbaharu dan 43 buah Myvi generasi sebelumnya kepada organisasi-organisasi ini dengan harapan ia dapat dimanfaatkan di dalam penyelidikan, latihan dan pembelajaran mereka.

“Sebagai syarikat People First, Perodua gigih memperkasakan golongan belia melalui pendidikan, kerana merekalah bakal pemimpin Malaysia dan peneraju masa hadapan industri automotif tempatan.

“Inisiatif-inisiatif pendidikan kami termasuk Perodua Eco Challenge dan Perodua Youth Training Programme (PYTP). PYTP merupakan program Tanggungjawab Korporat yang paling lama telah kami laksanakan, menghasilkan lebih 630 graduan sejak 1999,” kata Aminar.

Awal tahun ini, Perodua telah mengadakan majlis konvokesyen untuk 141 belia yang dilatih dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran, melayakkan mereka untuk menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) berdasarkan kecekapan teknikal and vokasional.

Lebih 70 peratus daripada mereka akan berkhidmat di pusat servis dan fasiliti Badan & Cat Perodua di seluruh negara.

“Dengan lebih sejuta unit dijual sejak kelahirannya pada tahun 2005, Myvi merupakan model kenderaan terlaris di Malaysia selama 13 tahun berturut-turut.

“Justeru, Myvi sangat sesuai untuk tujuan penyelidikan dan latihan tempatan kerana ia adalah model yang paling dekat mewakili kenderaan di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette