Home Nasional Dr Mahathir tidak hadir Hari Hak Asasi Suhakam

Dr Mahathir tidak hadir Hari Hak Asasi Suhakam

Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Ibu Pejabat BERSATU, Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 08 DISEMBER 2018.

PETALING JAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan tidak hadir dalam sambutan Hari Hak Asasi Manusia yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang berlangsung esok.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu kerana kerajaan telah memutuskan untuk menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD yang bertentangan dengan pendirian Suhakam.

“Saya memutuskan bahawa kita tidak akan menerima ICERD. Suhakam mahu menerima ICERD. Jadi, bagaimana saya boleh pergi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di sini.

Sambutan itu sepatutnya berlangsung hari ini tetapi ditangguhkan esok selepas Suhakam mendapat nasihat polis atas sebab-sebab keselamatan.

Ini kerana, sambutan itu diadakan pada hari sama dengan penganjuran Himpunan Ummah menolak ICERD.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, sambutan Hari Hak Asasi Manusia itu ditangguhkan kerana polis kekurangan tenaga untuk mengendalikan dua acara serentak.

“Jika ada dua perhimpunan pada sama, polis terpaksa mengagihkan anggota di dua lokasi berbeza. Sebab itu ia ditangguhkan kerana khuatir himpunan itu besar dan memerlukan ramai polis.

Pada sidang media itu, dengan nada sarkastik, Dr Mahathir mengucapkan terima kasih kepada para peserta Himpunan Ummah.

“Kita difahamkan himpunan hari ini dihadiri satu juta orang. Jadi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang himpunan sebagai tanda kesyukuran,” ujar beliau. – MalaysiaGazette