KUALA LUMPUR – Jumlah peserta Himpunan Ummah bagi membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di ibu negara hari ini dijangka mencecah ratusan ribu orang.
Ia berdasarkan lautan manusia berpakaian putih memenuhi sepanjang jalan setiap jalan utama dan ruang di ibu negara.
Mereka memenuhi kawasan-kawasan check point seawal pukul 7 pagi dan jumlah itu semakin meningkat menjelang pukul 11 pagi.
Tinjauan MalaysiaGazette di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut, Dataran Merdeka dan Jalan Perak mendapati kehadiran para peserta himpunan itu yang berbaju putih dan membawa pelbagai sepanduk bertali arus.
Dari kaki lima di LRT Masjid Jamek, kelihatan para peserta baju putih berkumpul. Tidak kurang juga ramainya peserta berkumpul di tangga pusat beli-belah Sogo.
Kehadiran ribuan peserta itu menyebabkan mereka tidak dapat berganjak daripada tempat berkumpul. Ini dapat dilihat di sepanjang jalan di hadapan Sogo berhampiran Hotel Swiss.
Sambil menunggu, ada kumpulan yang melaung-laungkan kata-kata semangat dan menyanyi lagu patriotik secara beramai-ramai.
Penganjur #Perhimpunan812 mensasarkan hampir setengah juta peserta untuk perhimpunan bersejarah itu.
Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi percaya himpunan hari ini menjangkaui angka 500,000 orang.
Biarpun hujan renyai mulai pukul 4.50 petang, namun para peserta tidak berganjak dari tempat masing-masing sehingga Hadi selesai memberi amanat dan bacaan doa oleh penganjur.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim yang dipetik daripada Bernama berkata, setakat petang ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan kejadian yang tidak diingini.
Beliau berkata, polis akan terus memantau dan mengawal keadaan perhimpunan aman ini sehingga selesai. – MalaysiaGazette