KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara dari Pas, menolak dakwaan pihak tertentu kononnya himpunan aman 812 bantah ICERD di ibu negara semalam sebagai modal politik murahan parti yang menganjurkannya.
Senator Asmak Husin berkata, tuduhan itu tidak benar sama sekali kerana sebelum ini ADN dan Ahli Parlimen dari pembangkang telah membangkitkan isu itu dalam sidang Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
Bahkan, katanya, Timbalan Menteri Luar, Senator Maszuki Yahya ketika itu berjanji untuk mengambil kira pandangan parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, termasuk mengambil kira pandangan kerajaan egeri sebelum meratifikasi ICERD.
“Tapi nampaknya ada gesaan demi gesaan dilakukan oleh pelbagai pihak yang memiliki fahaman mesra liberal yang berhasrat untuk menggugat kedaulatan Perlembagaan Malaysia mula melobi dan bersuara.
“Kerana itulah, sebagai orang Melayu, Islam, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak, kita bersatu dan berhimpun untuk menyatakan kepada mereka bahawa kita tidak perlu campur tangan daripada pihak luar,” katanya mengulas perhimpunan aman rakyat bantah ICERD di Dataran Merdeka, semalam.
Menurut Asmak, ada pihak mendakwa Perkara 153 adalah rasis dan apabila bercakap mengenai Perkara 3 agama Islam, mereka dituduh perkauman.
Katanya, sudah banyak orang Melayu mengambil sikap toleran menerusi Perkara 153.
“Bahasa Melayu contohnya, memang dianggap keistimewaan hak Bumiputera, tetapi kita sudah berkompromi dengan bahasa Inggeris melalui pendidikan.
“Begitu juga dengan kuota biasiswa yang dahulunya banyak, sekarang sudah tinggal berapa. Kuota juga telah diserapi dengan meritokrasi.
“Ini bukti bahawasanya kita Bumiputera sanggup bertolenrasi demi kedaulatan negara,” ujarnya.
Beliau melontarkan persoalan yang ingin ditimbulkan, iaitu adakah kewujudan keistimewaan Perkara 153, Perkara 38 dan lain-lain dalam perlembagaan itu menjadi punca diskriminasi minoriti di Malaysia.
Katanya, apa isu sebenarnya dan kenapa Amerika Syarikat (AS) boleh menolak ratifikasi konvensyen, tetapi Malaysia mesti meratifikasikannya. – MalaysiaGazette