Home Nasional Orang asli dan OKU sertai sambutan Hari Hak Asasi Manusia

Orang asli dan OKU sertai sambutan Hari Hak Asasi Manusia

Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Razali Ismail (tiga kiri) dan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof (tiga kanan) bergambar kenangan bersama sebahagian pelajar Kolej ICAN sambil memegang plakad mengenai kempen asasi manusia pada Majlis Sambutan Hak Asasi Manusia di Padang Timur, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 09 DISEMBER 2018

PETALING JAYA – Kira-kira 200 peserta hadir pada sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2018 yang diadakan di Padang Timur, dekat sini, hari ini.

Program anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) itu disifatkan sebagai tidak berjaya kerana sambutannya agak tidak menggalakkan.

Majlis yang lebih kepada karnival itu turut menyaksikan kehadiran kira-kira 50 anggota polis yang dikerah untuk mengawal keadaan, kerana sambutan itu dijangka mengundang ribuan orang ramai.

Beberapa pemimpin Suhakam termasuk Pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail, selain menyampaikan ucapan ringkas turut meraikan beberapa kumpulan melibatkan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan pelajar.

Rata-rata yang hadir ialah masyarakat Cina dan India, yang kemudian ada antaranya dilihat pulang awal kerana pengisian program sangat membosankan.

MGF09122018_SAMBUTAN HARI ASAKSI MANUSIA 201815
Masyarakat Orang Asli dari Pulau Carey melihat pelbagai jenis kad pengenalan keluaran daripada Jabatan Pendaftaran Negara semasa melawat tapak pameran pada Majlis Sambutan Hak Asasi Manusia di Padang Timur, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 09 DISEMBER 2018

Kumpulan kesenian Orang Asli Pulau Carey turut menyampaikan persembahan tradisional masyarakat mereka, iaitu tarian Sewang, manakala beberapa aktivis mengambil bahagian dalam mendeklamasi puisi.

Pengacara program, Kudsia Kahar turut mengingatkan kepada hadirin kononnya himpunan aman bantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di ibu kota semalam, mendapat kemarahan ‘Tuhan’.

“Ada ribut petir di himpunan aman ICERD semalam. Itu tanda ‘Tuhan’ marah.

“Dan tengok himpunan Suhakam hari ini, cuaca cerah dan terang benderang,” katanya yang mendapat tepukan dari kebanyakan hadirin kaum Cina dan India.

Program bertemakan “Memperjuangkan Hak Asasi Manusia’ atau #StandUp4HumanRights” itu bermula kira-kira jam 10.30 pagi dan berakhir jam 12.30 tengah hari.

Mengikut jadual, program itu dijangka berakhir jam 3 petang dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan akan hadir.

Terdahulu, himpunan itu asalnya diadakan pada 8 Disember lalu serentak dengan himpunan aman bantah ICERD di Dataran Merdeka, tetapi ditangguhkan pada hari ini. – MalaysiaGazette