KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil penganjur perhimpunan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di sekitar Jalan Raja di sini, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata tindakan itu susulan satu laporan polis mengatakan terdapat peserta yang membawa kanak-kanak ke perhimpunan itu.
Katanya, tindakan membawa kanak-kanak itu menyalahi Seksyen 4 (2)(f) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000.
“Penganjur dipanggil untuk bantu siasatan dan setakat hari ini tiada laporan polis diterima berhubung kerosakan landskap pada perhimpunan itu ,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata tiada mana-mana individu yang berucap pada perhimpunan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.
Semalam, Mazlan berkata kira-kira 55,000 peserta hadir dan himpunan itu berjalan lancar dan selamat tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
Sebelum ini, penganjur perhimpunan ini dilaporkan berkata perhimpunan itu diadakan sebagai tanda ‘kesyukuran’ di atas keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasikan konvensyen berkenaan dan seterusnya mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
Pada 23 Nov lepas, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.
— BERNAMA