KUALA LUMPUR – Berdiri berjam-jam, berhimpit, bersesak sehinggakan ada yang pengsan ketika beratur mahu membeli tiket perlawanan akhir 1 Piala Suzuki AFF 2018 yang bakal menemukan #HarimauMalaya dan pasukan Vietnam.
Tidak kurang juga yang gagal menahan perasaan marah dan kecewa apabila mendapat maklumat tiket habis dijual sedangkan yang menunggu giliran masih beribu menunggu di hadapan.
Begitulah suasana di Stadium Nasional, Bukit Jalil semasa tinjauan MalaysiaGazette sejak awal pagi sehinggalah kaunter tiket ditutup kira-kira pukul 12 tengahari ipabila kesemua 40,000 tiket habis terjual dalam masa tidak sampai tiga jam.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di laman Facebook mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong Harimau Malaya yang telah memberikan sambutan dan sokongan luar biasa bagi mendapatkan tiket Final 1 ini.
“Kepada penyokong yang gagal mendapatkan tiket, FAM tidak dapat memenuhi hasrat anda untuk mendapatkan tiket kerana kami hanya dapat menjual 80,000 keping tiket sahaja mengikut kapasiti stadium. Dengan itu, kami memohon maaf,” katanya FAM. – MalaysiaGazette