Home Nasional Kenapa pula kena minta maaf, jawapan Rayer buat sidang Dewan jadi panas

Kenapa pula kena minta maaf, jawapan Rayer buat sidang Dewan jadi panas

KUALA LUMPUR – Sesi Dewan Rakyat gamat seketika malah kali ini amat jelas wajah-wajah marah dan tidak puas hati dalam kalangan wakil rakyat kerajaan dan pembangkang berikutan isu kekosongan kerusi Cameron Highlands.

Rabu lepas, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff bertindak mengusir Ahli Parlimen Cameron, Datuk C. Sivarraajh dengan menuduhnya sebagai ‘wakil asing’ dan perlu mendapatkan nasihat peguam tentang kehadirannya ke Parlimen.

Bagaimanapun, Sivarraajh terus bertegas beliau masih boleh hadir ke Dewan dan boleh menjadi wakil rakyat Cameron Highlands sehingga kesnya yang kini dalam proses rayuan 14 hari selesai.

Malah ketika barisan pembangkang cuba meminta Mohamad Ariff membiarkan sahaja Sivarraajh hadir ke Dewan, beliau hanya akan membuat keputusan pada hari ini dengan membiarkan mereka menunggu selama dua hari.

Hari ini, Mohamad Ariff membuat ‘ruling’ seperti yang dipinta oleh Sivarraajh dan barisan pembangkang lain sejak beberapa hari lalu bahawa beliau masih lagi Ahli Parlimen yang sah sehingga Mahkamah Persekutuan membuat keputusan muktamad berhubung pengosongan tersebut.

Ini sekaligus memberi gambaran, Mohamad Ariff ‘mungkin’ tersilap namun gagal diakui oleh semua dalam kalangan PH.

Suasana Dewan Rakyat juga gamat sehingga hampir 20 minit apabila sekali lagi pembangkang membawa isu pengusiran Sivarraajh tidak mengikut peraturan sehingga haknya dianiyai selepas makan tengahari tadi.

Sivarraajh yang masuk kembali untuk sesi perbahasan juga disambut meriah dengan sorakan sebelum dewan kembali ‘panas’ berdebat isu tersebut.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar berterusan mendesak Timbalan Yang Dipertua, Datuk Rashid Hasnon supaya menyelesaikan isu tersebut.

Kata Tajuddin, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mengeluarkan segala macam tuduhan yang seolah-olah mempunyai agenda ‘jahat’ terhadap Sivarraajh.

“Jelutong perlu memohon maaf dan menarik balik.Beliau yang mulakan isu ini walaupun sudah diterangkan kes ini masih dalam proses rayuan. Sila minta beliau mohon maaf,” katanya.

Sambung Bung Mokhtar, adalah tidak adil jka membiarkan isu ini berlalu begitu sahaja sebaliknya pihak bersalah perlu mengambil tanggungjawab.

Bagaimanapun, Rashid enggan melayan tuntutan tersebut sebaliknya hanya memohon wakil rakyat untuk meneruskan sahaja perbahasan dalam isu lain dan jangan membuang masa.

“Keputusan itu muktamad. Kita tidak perlu bercakap tentang perkara ini lagi,” tegasnya.

Bagaimanapun, Tajuddin dan Bung Mokhtar enggan menerima arahan tersebut dan berterusan mendesak.

Ini menyebabkan wakil rakyat dalam kalangan PH bangkit menyuruh mereka duduk sahaja.

“Ini salah, anda telah ambil hak Cameron Highlands selama dua hari, tolong minta Jelutong minta maaf kerana melakukan provokasi ini,” kata mereka beramai-ramai.

Rayer kemudian bangun dan mengatakan dirinya tidak bersalah sebaliknya Sivarraajh yang terpalit dengan isu tersebut.

“Kenapa saya perlu minta maaf? Cameron Highlands yang bersalah. Saya tidak akan minta maaf,” tegasnya.

Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan bangun dan meminta Rayer meminta maaf apatah lagi Mohamad Ariff telah menarik balik keputusan tersebut.

“Speaker tidak buat salah dalam keputusan. Awak Tapah yang salah jalan dengan menyertai perhimpunan ICERD, duduklah,” kata Rayer kepada Saravanan.

Itu menyebabkan Saravanan berkata sesuatu namun Rashid bertindak menutup mikrofon kerana rata-rata pembangkang menjadi lebih agresif dalam penggunaan perkataan sehingga ada yang mengeluarkan kata-kata seperti ‘bodoh’.

Rashid kemudian hilang sabar dan meminta semua diam dan duduk kerana keputusan itu muktmad.

“Keputusan sudah ‘dibetulkan’ dan ianya muktamad. Tidak ada isu lagi. Keputusan saya muktamad,” tegasnya.

Jawapan itu menyebabkan Bung Mokhtar meminta Rashid untuk tidak mengeluarkan sebarang keputusan dan membiarkan sahaja Mohamad Ariff yang menyelesaikan pertikaian tersebut.

“Saya yang duduk di kerusi ini sekarang dan saya boleh keputusan. Dan keputusan saya muktamad. Semua duduk,” kata Rashid.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri mahu permohonan maaf itu dibuat bagi memastikan keadilan dapad diberikan kepada Sivarraajh.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim juga bangkit mengatakan Sivarraajh sudah rugi dua hari dan tidak akan dapat elaun selama dua hari.

Namun Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Khai yang sedang berbahas menjadi marah kerana tidak dapat menyambung perbahasannya dan meminta Rashid menghalau sahaja mana-mana pihak yang mengganggu.

“Halau sahaja dari Dewan. Mereka ini buang masa sehingga saya tidak dapat berbahas. Taun Speaker, sila halau mereka sahaja,” katanya marah.

Akhirnya, Rashid yang tidak dapat mengawal keadaan Dewan yang semakin panas sehingga menyebabkan beliau mengeluarkan arahan kepada bentara untuk menghalau Tajuddin dan Bung Mokhtar keluar dewan.

“Tak perlu halau, kami sendiri ramai-ramai akan keluar Tuan Speaker,” tegas Tajuddin.

Boikot

Hampir kesemua wakil rakyat BN termasuk Sivarraajh kemudian bertindak keluar Dewan memboikot keputusan Rashid yang enggan mengarahkan Rayer meminta maaf.

Ismail Sabri kemudian memberitahu pemberita tindakan memboikot itu kerana sikap pilih kasih selain daripada sikap acuh tidak acuh terhadap apa yang terjadi kepada Sivarraajh oleh kerajaan. –MalaysiaGazette