PUTRAJAYA- Pilihan raya kerajaan tempatan boleh mengundang konflik di antara kaum dan melebarkan jurang bandar dan luar bandar.
Dengan itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan cadangan untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan itu tidak mungkin dilaksanakan.
“Tiada pilihan raya kerajaan tempatan kerana ia boleh mengeluarkan hasil yang salah.
“Di bandar lain, di kampung pula lain jadi akan terdapat konflik yang mungkin menyebabkan perbezaan kaum dan sebagainya.
“Kami tidak mahu perkara tersebut berlaku,” katanya semasa sidang media selepas melancarkan Konvensyen Memperkasakan Pihak Berkuasa Tempatan di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali.
Zuraida sebelum ini pernah membuat kenyataan yang mengatakan pilihan raya kerajaan tempatan bakal diadakan dalam tempoh tiga tahun iaitu apabila ekonomi negara kembali stabil.
Isu tersebut juga merupakan topik utama perbincangan pada konvensyen yang berlangsung pada hari ini dan esok.-MalaysiaGazette