Home Utama Tubuhkan RCI rungkai kedudukan kewangan TH

Tubuhkan RCI rungkai kedudukan kewangan TH

Timbalan Presiden Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan kepada kerajaan supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mencari kebenaran tentang kedudukan kewangan Tabung Haji yang digemparkan dengan dakwaan mengalami defisit RM4.1 bilion.

Katanya, RCI bukan sahaja membolehkan orang ramai mengetahui dengan lebih jelas dan terperinci tentang isu tersebut malah akan membuka ruang kepada semua pihak untuk sama-sama mengemukakan jalan bagi mengukuhkan kembali institusi penting ini.

Beliau berkata, laporan PricewaterhouseCoopers (PwC) berkaitan kedudukan dan amalan kewangan Tabung Haji yang dibentangkan oDatuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa di Parlimen pagi tadi mengundang kerisauan yang sangat mendalam dan mesti dipandang serius oleh semua pihak.

“Saya yakin orang Melayu dan Islam di Malaysia mendambakan kebenaran dari pendedahan ini dan seterusnya menuntut pertanggungjawaban dari mereka yang terbabit.

“Satu siasatan secara mendalam, terperinci dan benar mesti dilakukan dengan segera dan tegas atas beberapa sebab,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Mohamad berkata, pendedahan kedudukan kewangan Tabung Haji harus dilihat dalam konteks yang lebih besar iaitu bukan sahaja berkaitan dengan soal pemberian/bayaran hibah yang tidak mengikut prosedur dan peruntukan organisasi tersebut (TH).

Tetapi, katanya, yang lebih mendasar ialah ia menggambarkan kewujudan krisis tadbir urus korporat dan pengurusan yang tidak mengikut amalan terbaik.

Katanya, UMNO sangat serius dalam apa jua usaha memelihara kewibawaan institusi yang berkaitan dengan orang Melayu dan agama Islam.

Sebarang usaha untuk memperkuat institusi ini dan menghapuskan ketirisan, pecah amanah serta salah tadbir urusnya mesti disokong oleh semua pihak.

Menurut beliau, Tabung Haji adalah institusi milik orang Melayu dan orang Islam justeru mereka berhak mengetahui kedudukan sebenar institusi terpenting ini. Dan kebenaran hanya akan terbit dari siasatan yang telus, tidak berpihak dan menyeluruh.

“Cara terbaik membela kepentingan Melayu dan Islam adalah dengan memastikan institusi milik kita diuruskan dengan sebaiknya.

“Justeru itu, Tabung Haji jangan sama sekali dibiarkan susut nilai dan kepentingannya atau dipergunakan tanpa pertanggungjawaban dan rasa bersalah oleh pihak bertanggungjawab dalam apa cara sekali pun,” katanya.

Katanya, Tabung Haji mempunyai nama besar dan reputasi yang baik bukan sahaja di dalam negara malah di persada global.

“Tabung Haji adalah kuasa lunak Malaysia di kalangan negara Islam. Mandat, fungsi serta aspirasi organisasi ini yang sangat murni dan kritikal dalam kehidupan beragama orang Islam. Maka wibawanya harus dipertahankan dengan apa cara sekalipun,” katanya. – MalaysiaGazette