Home Nasional Tujuh suspek terlibat kumpulan pengganas ditangkap

Tujuh suspek terlibat kumpulan pengganas ditangkap

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bercakap pada sidang media sempena Seminar PDRM Mendepani Cabaran Dalam Kepolisan Moden di Maktab PDRM Kuala Lumpur, Cheras. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 02 OGOS 2018.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR – Tujuh individu ditahan kerana disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas dalam operasi yang dilakukan pada 19 hingga 28 November lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kesemua yang diberkas disyaki melakukan kesalahan di bawah bab kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta-akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Menurut beliau, lima daripada individu yang ditangkap merupakan warga Malaysia manakala dua lagi merupakan warganegara Filipina.

“Tangkapan pertama pada 19 November lalu di Kelantan melibatkan warga Malaysia berusia 28 tahun dan bekerja sebagai penjual madu.

“Suspek telah menerima arahan daripada Akel Zainal (rakyat Malaysia yang menteretai kumpulan pengganas Daesh di Syria) untuk melancarkan serangan di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, tangkapan kedua pula pada 20 November di Kajang melibatkan seorang lelaki yang juga warga Malaysia berusia 52 tahun dan bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat minyak dan gas.

Katanya, suspek terlibat dalam menyalurkan dana berjumlah lebih kurang RM14,000 kepada seorang rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas Daesh.

Untuk tangkapan ketiga pula katanya, seorang lelaki warga Filipna merupakan anggota kumpulan Abu Sayyaf yang pernah terlibat dengan tiga siri penculikan di selatan Filipina dan Sabah.

Bagi tangkapan keempat pula, suspek merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun dan bekerja sebagai kakitangan sebuah sekolah memandu.

“Dia disyaki menerima arahan daripada anggota kanan kumpulan pengganas Daesh untuk melancarkan serangan ke atas orang-orang dan tempat-tempat ibadat bukan Islam.

“Tangkapan kelima dilakukan pada 22 November di Bedong Kedah juga melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang bekerja sebagai pemandu van kilang.

“Suspek terlibat menyalurkan dana kepada Sel Jemaah Ansharut Daulah (JAD), sebuah kumpulan pengganas pro Daesh di indonesia yang terlibat dalam siri serangan ke atas balai polis di Jawa Tengah pada April 2017,” ujarnya.

Tambah Mohamad Fuzi, tangkapan keenam dan ketujuh pula melibatkan sepasang suami isteri yang masing-masing berusia 40 dan 48 tahun.

Jelasnya, mereka terlibat dalam menyembunyikan maklumat mengenai kehadiran kumpulan Abu Sayyaf.

Kedua-dua pasangan itu katanya, merupakan warga tempatan dan Filipina dan tangkapan ke atas mereka dilakukan di Tenom, Sabah pada 28 November lepas. – MalaysiaGazette