Home Nasional Cameron Highlands: Sivarraajh tidak jadi buat rayuan

Cameron Highlands: Sivarraajh tidak jadi buat rayuan

Tan Sri SA Vigneswaran

KUALA LUMPUR – Kerusi P078 Cameron Highlands terus menjadi hangat baik dalam kalangan ahli politik mahupun perdebatan dalam Dewan Rakyat sehingga ada segelintir bertindak memboikot sesi perbahasan berikutan isu tersebut.

Terang lagi bersuluh ada sikap ‘pilih bulu’ dan berat sebelah ditonjolkan dalam isu kerusi Cameron Highlands sejak awal lagi.

Malah Rabu lepas, status Datuk C. Sivarraajh sebagai Ahli Parlimen di Cameron Highlands menjadi persoalan apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat,  Datuk Mohamad Ariff Md Yusof bertindak mengusirnya keluar dengan menggelarnya ‘wakil asing’.

Sivarrajh tidak dibenarkan mengikuti sesi perbahasan Dewan Rakyat selama dua hari walaupun beliau cuba menjelaskan dirinya masih lagi sah bergelar Ahli Parlimen kawasan itu sehingga proses rayuan dalam tempoh 14 hari dilakukan olehnya.

Ironinya, walaupun rata-rata wakil rakyat yang berlatarbelakangkan pengamal undang-undang termasuk Mohamad Ariff sendiri merupakan bekas hakim, ramai yang acuh tidak acuh, tidak peduli atau tidak kisah sebaliknya tetap tidak mendengar penjelasan berhubung undang-undang itu.

Walaupun Sivarraajh kemudian di terima kembali sebagai ‘Ahli Parlimen’ yang sah sehingga proses perundangan berhubung pengosongan kerusi tersebut selesai, namun tidak pula pihak yang mengeluarkan pelbagai dakwaan serta tomahan memohon maaf berhubung insiden.

Insiden-insiden ini sebenarnya menyebabkan persoalan adakah ketelusan dan keadilan akan dapat diberikan kepada pembangkang yang satu dahulunya merupakan kerajaan yang amat berkuasa.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran yang bercakap kepada MalaysiaGazette sebentar tadi mendedahkan, pihaknya telah membuat keputusan sebulat suara untuk tidak membuat sebarang rayuan berhubung pembatalan kerusi selepas wujudnya elemen rasuah.

Kata Vigneswaran yang juga merupakan Yang Dipertua Dewan Negara, pihaknya mahu mendapatkan ‘keadilan’ dengan rakyat Cameron Highlands sendiri dan bersedia untuk bertanding sekali lagi.

Jelasnya, pembatalan kerusi itu sebenarnya masih menjadi satu persoalan kerana tiada sebarang bukti kukuh yang menyabitkan Sivarrajh telah melakukan rasuah.

“Saya rasa warga Cameron Highlands tahu tentang kedudukan Sivarraajh malah mengenalinya juga. Kita mahu mendapatkan keadilan dengan rakyat, biarlah kita bertanding sekali dan mengembalikan maruah ini.

“Kita tidak akan melakukan proses rayuan walaupun sebelum ini sememangnya ada perancangan untuk berbuat demikian, pada saya ini lebih baik. Kita kembali dapatkan mandat daripada rakyat.

“Mereka nampak dan celik dengan apa yang berlaku, keadilan dapat ditegakkan dengan kuasa rakyat, rasanya itu lebih baik,” katanya sebentar tadi.

C. Sivarraajch
Sivarajh Chandran

Sivarraajh ketika dihubungi turut menyatakan keyakinan beliau dalam memenangi kerusi tersebut kerana jelasnya, warga Cameron Highland cukup mengenali perwatakan serta sumbangannya.

“Sudah tujuh bulan saya bergelar Ahli Parlimen Cameron Highlands, saya tidak retorik dalam menjalankan tugas itu dengan penuh tanggungjawab. Tidak apa, kita dapatkan keadilan itu daripada rakyat sendiri.

“Saya ingin tekankan di sini sekali lagi, saya tidak melakukan rasuah, itu yang pasti,” tegasnya.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRU14 yang dimenangi BN sebagai terbatal dan tidak sah selepas didapati wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan Sivarraajh.

Mahkamah juga telah membenarkan Sivarrajh untuk mengemukakan sebarang rayuan dala tempoh 14 hari di Mahkamah Persekutuan bagi proses tersebut penggazetan pengosongan kerusi tersebut dapat dilakukan. –MalaysiaGazette

Sivarraajh akan buat rayuan, nafi beri rasuah kepada pengundi

Sivarrajh masih Ahli Parlimen yang sah – Mohamad Ariff

Kenapa pula kena minta maaf, jawapan Rayer buat sidang Dewan jadi panas