Home Politik G57 desak SPRM siasat TYT Sabah

G57 desak SPRM siasat TYT Sabah

Pengerusi Penaja Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia, Datuk Zulkarnain Mahdar menunjukkan surat dari Dewan Undangan Negeri Sabah mengenai satu sidang khas kedua DUN yang akan diadakan pada 13 Disember di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 11 DISEMBER 2018

PUTRAJAYA – Gerakan Kuasa Rakyat (G57) hari ini membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendesak badan itu supaya menyiasat Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Pengerusi Penajanya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, laporan itu dibuat atas maklumat bahawa terdapat usul khas akan dibuat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Difahamkan sesi usul khas itu akan diadakan Khamis ini bagi membolehkan jawatan TYT Sabah disambung kepada dua penggal lagi.

“Umum mengetahui TYT sebelum ini adalah dalang yang melantik dua Ketua Menteri Sabah dan tonggak utama dalam memujuk wakil rakyat melompat parti bagi menyokong Shafie Apdal menjadi Ketua Menteri.

“Juhar juga secara sengaja melewat-lewatkan perlantikan Tan Sri Musa Aman mengangkat sumpah walaupun 31 orang wakil rakyat telah menandatangani persetujuan Musa sebagai Ketua Menteri,” katanya kepada media di perkarangan ibu pejabat SPRM hari ini.

Untuk rekod, undang-undang negeri Sabah telah menghadkan jawatan TYT hanya 2 penggal sahaja bagi menjawat jawatan tersebut.

Sehubungan itu, Zulkarnain mendesak SPRM menjalankan siasatan terhadap dakwaan itu.

“Adakah ini satu imbuhan untuk Juhar kerana perbuatan yang disebutkan di atas. Sekiranya benar, usul tersebut dibentang dan diluluskan.

“Ini adalah rasuah yang amat jijik dan mesti dihentikan,” katanya.

Beberapa laporan media sebelum ini mendakwa Ketua menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal mahu melanjutkan penggal Juhar kerana beliau dikatakan mahu mengawal sebarang kemungkinan wakil rakyat yang belot daripada gabungannya dan menyertai pembangkang. – MalaysiaGazette