Home Ekonomi Zainal Abidin ganti Aminar teraju Perodua

Zainal Abidin ganti Aminar teraju Perodua

Zainal Abidin Ahmad

KUALA LUMPUR – Datuk Zainal Abidin Ahmad dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif baharu Perodua bagi menggantikan Datuk Aminar Rashid Salleh.

Pelantikan itu berkuatkuasa 1 Januari 2019 berikutan persaraan Aminar pada 31 Disember ini selepas sembilan tahun menerajui Perodua.

Zainal Abidin sebelum ini merupakan Naib Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd.

Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin berkata, ahli-ahli lembaga syarikat itu mengucap terima kasih kepada Aminar di atas sumbangannya kepada Perodua dan industri automotif secara keseluruhannya.

MGF14072017_ProduaReview003
Aminar Rashid

Sepanjang menerajui syarikat itu, Perodua bukan sahaja dapat meningkatkan bahagian pasarannya daripada 31.2 peratus pada 2010 kepada lebih 37 peratus setakat tahun ini, malah berjaya melaksanakan inisiatif transformasi dalam Kumpulan Perodua.

Prestasi lepas jualan menyaksikan peningkatan yang cukup ketara, begitu juga dengan kecekapan kos, kualiti dan penghantaran.

Perodua juga melaburkan RM1.3 bilion untuk membina Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd, kilang Kenderaan
Cekap Tenaga (EEV) pertama di negara ini yang diperakui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Asmat menambah, Zainal Abidin akan meneruskan usaha untuk meningkatkan lagi kecekapan dan daya saing
dengan tujuan mengembangkan lagi perniagaan eksport Perodua.

“Zainal adalah calon pemimpin sesuai kerana beliau berupaya menggerakkan Perodua serta para vendor, pembekal dan pengedarnya ke peringkat serantau. Membawa Perodua ke peringkat rantau memerlukan seseorang yang bukan sahaja
boleh memimpin, malah mampu mengukuhkan jalinan hubungan dengan kerajaan dan bersama-sama memandu arah industri automotif yang semakin mencabar.

“Zainal telah membuktikan beliau dapat bekerja dengan baik bersama semua pemegang saham, termasuklah Daihatsu Motor Company of Japan dalam membawa teknologi baharu ke Perodua dan menggalakkan pelaburan di dalam
negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette