KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan pertemuan beliau bersama pemimpin UMNO lain dengan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad ada membincangkan tentang keluar parti.
Beliau juga mendedahkan pertemuan turut menyentuh penyatuan Umno dan PPBM, yang juga dipengerusikan perdana menteri itu.
“Macam-macam kita bincangkan. Boleh jadi kita bincangkan penyatuan, tentang penyatuan antara PPBM dan UMNO.
“Saya tak nafikan perbincangan itu, tetapi berbagai topik, khususnya tentang kelangsungan Melayu dan Islam,” katanya seperti yang dilaporkan FMT.
Ditanya mengenai keluar parti, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu menjawab: “Saya tidak pernah cakap (keluar UMNO). Saya tidak akan keluar UMNO, saya tetap dengan UMNO”.
Dr Mahathir petang tadi memaklumkan lima pemimpin UMNO yang mengadakan pertemuannya dengannya mahu keluar parti dan meminta nasihatnya.
Ditanya mengenai penyatuan itu, Mohamad berkata, ia timbul daripada keprihatinan kepada orang Melayu dan Islam.
“Kalau dua-dua parti boleh gabung bagus juga,” katanya, tetapi menambah dia tidak bersetuju jika UMNO dibubarkan. – MalaysiaGazette