KUALA LUMPUR – Seorang lagi wakil rakyat yang dipilih oleh pengundi atas tiket Barisan Nasional, hari ini mengumumkan keluar parti yang diwakili sebelum ini iaitu UMNO.
Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang merupakan Ahli Parlimen Tanah Merah membuat keputusan tersebut selepas tindakan wakil rakyat UMNO dari Sabah berbuat demikian secara beramai-ramai.
Dijangka beberapa nama lagi akan mengambil tindakan serupa dalam masa terdekat. Keputusan Ikmal itu diumumkan di hadapan kira-kira 800 penyokong dan barisan kepemimpinan UMNO bahagian.
Menerusi satu video, Ahli Parlimen itu dilihat tidak dapat menahan air mata dan terpaksa menghentikan ucapannya beberapa kali.
Ikmal menyifatkan pengumumannya itu adalah keputusan yang amat sukar namun terpaksa dibuat demi menyelamatkan bangsa Melayu dan Islam.
“Walaupun selepas ini saya akan dikecam namun saya sedia menerima semua ini demi kepentingan penduduk Tanah Merah,” katanya.
Beliau turut meminta semua pihak terus memberi kerjasama kepadanya dalam menjalankan tugas sebagai wakil rakyat bebas selepas ini. – MalaysiaGazette