Home Nasional Ancam mogok lapar jika Juhar masih Yang Dipertua Sabah

Ancam mogok lapar jika Juhar masih Yang Dipertua Sabah

Datuk Zulkarnain Mahdar
Pengerusi Penaja Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) Datuk Zulkarnain Mahdar

KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mengancam untuk menganjurkan mogok lapar di hadapan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selagi  jawatan Yang Dipertua Sabah masih digalas oleh Tun Juhar Mahiruddin.

Pengerusi Penajanya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, langkah itu bagi menghalang Juhar terus bersengkongkol dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk membatalkan had perkhidmatan Yang Dipertua Sabah yang ditetapkan hanya selama dua penggal sahaja.

“Ketika kerajaan baharu cuba menghadkan jawatan Perdana Menteri, Ketua Menteri dan Menteri Besar kepada dua penggal sahaja, perbuatan membatalkan tempoh jawatan Yang Dipertua  Sabah sebelum ini kepada dua penggal adalah amat tidak wajar dilakukan oleh Shafie dan Parti Warisan Sabah.

“Untuk mempastikan Yang Dipertua Sabah kelak berlaku adil, maka Juhar seharusnya menamatkan tempoh perkhidmatan pada awal Januari ini dan digantikan dengan calon difikirkan sesuai oleh Kerajaan Negeri Sabah.

“Calon Yang Dipertua Sabah mestilah bebas daripada menjadi ahli dan menyokong mana-mana parti politik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selasa lalu, Zulkarnain telah membuat satu laporan rasmi kepada SPRM agar satu tindakan undang-undang dapat diambil ke atas Juhar dan Shafie sekiranya benar Yang Dipertua Sabah itu disambung tempoh jawatan.

Semalam, Shafie dan 45 wakil rakyat Sabah meluluskan rang undang-undang menyokong had tempoh perkhidmatan Yang Dipertua Sabah kepada dua penggal atau enam tahun dibatalkan dalam Sidang Khas Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata, tindakan Mohd Shafie itu seolah-olah mengesahkan khabar angin sebelum ini mengatakan Juhar bakal mendapat habuan itu selepas didakwa terlibat menjayakan konspirasi menjatuhkan Tan Sri Musa Aman sebelum ini.

“Dengan melengahkan majlis angkat sumpah jawatan Ketua Menteri serta terlibat memujuk beberapa orang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) melompat parti untuk menyokong Datuk Seri Shafie Apdal menjadi Ketua Menteri seakan-akan menunjukkan kebenarannya,” katanya.

Zulkarnain juga menegaskan, jawatan Yang Dipertua Sabah perlu bebas dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik kerana ia mewakili rakyat di negeri itu yang berbeza latar belakang politik, agama dan bangsa.

“Juhar tidak mampu melaksanakan tugas secara adil dan saksama sekiranya beliau secara terang-terangan telah memihak dan menyokong Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Parti Warisan Sabah,” katanya.

Katanya lagi, perkhidmatan Juhar sewajarnya ditamatkan segera memandangkan Yang Dipertua Sabah itu tidak mempunyai apa-apa jasa yang boleh dibanggakan oleh rakyat Sabah.

“Masih ramai lagi calon Yang Dipertua Sabah amat berkelayakan yang boleh diketengahkan oleh Kerajaan Negeri Sabah ketika ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette