PUTRAJAYA – Bekas pemimpin UMNO yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu memiliki prinsip perjuangan dan perasaan sayang terhadap parti itu.
Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun berkata, ini kerana parti yang ditunjangi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu ditubuhkan bukan dengan cara yang mudah dan perlu berdepan pelbagai cabaran.
Justeru Menteri Pembangunan Luar Bandar itu berharap bekas pemimpin UMNO yang memilih Bersatu percaya dengan prinsip yang diperjuangkan parti.
“Nampak seperti trend masuk Bersatu dan berharap kehadiran mereka kerana prinsip perjuangan. Itu harapan saya sebab sekiranya tiada prinsip, kita tidak mahu parti yang disayangi ini ditubuhkan bukan dengan cara mudah dan banyak cabaran.
“Jadi kita hendak bawa Bersatu sebagai parti yang diyakini rakyat dari masa ke masa dengan penambahan keahlian dan parti harapan buat masyarakat Melayu dan Bumiputera.
“Kita mahu mereka masuk Bersatu kerana sayangkan parti ini dan saya berharap pemimpin yang masuk percaya dengan prinsip yang dibawa oleh Bersatu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual oleh MalaysiaGazette di kementerian di sini semalam.
Beliau diminta mengulaskan tindakan bekas pemimpin UMNO yang mula menyertai Bersatu sejak kebelakangan ini dengan terbaharu bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin selain pimpinan UMNO Sabah yang keluar parti dan menyokong Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Ditanya kehadiran mereka itu yang tidak dipersetujui oleh segelintir pihak, Rina berkata, buat permulaan bekas pemimpin UMNO itu hanya menyerah borang keahlian terlebih dahulu.
“Apa yang faham mereka hanya serah borang untuk menjadi ahli dan saya tidak fikir imbuhan diberi, kita bukan begitu dan saya tidak fikir juga jawatan tertentu.
“Jika benar ikhlas bersama Bersatu, keputusan (jadi ahli) dibuat oleh pucuk pimpinan. Sekiranya jadi ahli parti biasa dahulu dalam satu tempoh dan kita lihat keikhlasan mereka ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa. – MalaysiaGazette