KUALA LUMPUR – Dua tokoh pendakwah bebas, Nik Omar Nik Abdul Aziz dan Zolkharnain Abidin masing-masing dilantik sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berkuatkuasa 1
Disember lalu.
Pelantikan mereka adalah berdasarkan Klausa 7(a) Perlembagaan YADIM yang menyatakan bahawa semua pelantikan Yang Dipertua YADIM dan Timbalan Yang Dipertua Yadim adalah di bawah keputusan Perdana Menteri.
Kedua-dua akan memegang jawatan berkenaan selama tempoh dua tahun, menurut kenyataan Yadim di sini.
Nik Omar menggantikan Dr. Yusri Mohamad yang menamatkan perkhidmatannya pada 31 Oktober.
Manakala Zolkharnain menggantikan Mohd Zaidi Ramli yang bertukar ke Jabatan Agama Negeri Sembilan.
Dengan pelantikan itu, Nik Omar kini menjadi Yang Dipertua YADIM yang ke-13 sejak penubuhan badan dakwah ini pada 1974.
YADIM adalah sebuah badan amanah yang didaftarkan di bawah Trust Incorporation Ordinance 1952 yang bertanggungjawab kepada Perdana Menteri Malaysia.
YADIM ditubuhkan sebagai sebuah badan yang bertindak bagi menyelaras aktiviti serta program dakwah yang pelbagai di negara ini. – MalaysiaGazette