Home Nasional Desa Harapan rancak pembangunan luar bandar

Desa Harapan rancak pembangunan luar bandar

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun bercakap semasa temubual khas di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 13 DISEMBER 2018

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan memperkenalkan inisiatif baharu yang dikenali Program Desa Harapan dalam usaha meningkatkan pembangunan sosio ekonomi masyarakat luar bandar di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, program itu merupakan sebuah kampung angkat yang diterajui pihaknya menerusi sokongan dan kerjasama dengan syarikat swasta dan korporat berdasarkan konsep tanggung sosial korporat.

Menurut beliau, sebagai permulaan Desa Harapan menyasarkan satu kampung di setiap negeri dengan pelaksanaannya dapat realisasikan sepenuhnya sepanjang tahun hadapan dan pertambahan kampung pada masa akan datang.

“Objektif Desa Harapan ini adalah kementerian mahu memberi definasi baharu kepada konsep kampung angkat itu agar lebih efektif, inovasi dan menarik secara holistik.

“Pada masa sama, program ini mampu memberi inspirasi kepada masyarakat luar bandar bahawa pembangunan di kampung seiring dengan kawasan bandar.

“Malah menerusi program ini, kementerian juga dapat membentuk kerjasama strategik serta menjalin hubungan baik dengan dengan pihak swasta dan korporat serta sebagai satu medium mempromosikan insiatif dan agenda kerajaan terhadap pembangunan luar bandar.

“Selain itu, Desa Harapan ini sebagai program sokongan dalam menyediakan bantuan berdasarkan keperluan kampung mengikut kepakaran syarikat swasta dan korporat itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual oleh MalaysiaGazette di kementeriannya di sini semalam.

Majlis pelancaran Program Desa Harapan akan dilancarkan pada 18 Disember ini dengan projek perintis di Kampung Perintis, Batang Padang di Perak.

Rina menambah, pemilihan kampung yang dipilih melibatkan kriteria seperti kesediaan dan komitmen, potensi kemajuan, kelayakan, kumpulan sasaran, kepimpinan serta akses dan kemudahan yang kurang memuaskan.

Jelas beliau, antara skop projek yang dirancang dalam Desa Harapan itu melibatkan keusahawanan dan industri desa, alam sekitar dan teknologi hijau, sukan, kebudayaan, kerohanian, pendidikan dan kemasyarakatan serta keceriaan.

“Pemilihan pihak swasta dan korporat yang dikenali rakan strategik ini pula melibatkan kriteria seperti dana kerana program ini tidak menggunakan dana kerajaan selain tenaga kerja, komitmen, pengetahuan dan perkongsian pengalaman serta kepakaran mereka.

“Sehingga kini, sebanyak 20 rakan strategik telah mengesahkan penyertaan mereka yang melibatkan nama-nama besar di negara ini,” katanya.

Rina berharap hasil Program Desa Harapan itu membolehkan kampung-kampung yang terpilih akan dapat meningkatkan keupayaan mereka dalam menjana pendapatan menerusi sumber-sumber yang terdapat di kawasan mereka.

Jelas beliau, sekiranya kampung-kampung dapat menjadi tempat yang menjana pendapatan, penduduk terutama anak-anak mudah tidak perlu berhijrah ke bandar sebaliknya kemajuan luar bandar dapat berterusan dan faedahnya dapat dikongsi semua pihak. – MalaysiaGazette