Home Nasional Pekerja asing bakal dikenakan caruman Perkeso 20 peratus

Pekerja asing bakal dikenakan caruman Perkeso 20 peratus

KUla Segaran
Menteri Sumber Manusia, M.Kulasegaran (tengah) beramah mesra dengan sebahagian majikan yang hadir pada Sesi Dialog Majikan Industri Getah di Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 15 DISEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Pekerja asing tidak dikecuali mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada masa akan datang dalam usaha memberi manfaat kepada majikan dan juga pekerja.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, perkara itu masih di peringkat cadangan dengan jumlah caruman bakal dikenakan sebanyak 20 peratus.

Menurutnya, cadangan yang telah terbukti berjaya di Korea Selatan itu sudah dikemukakan kepada Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC).

“Ini hanya cadangan kepada majikan dan telah dikemukakan kepada NLAC serta perbincangan lebih lanjut akan diadakan esok petang.

“Tempoh pelaksanaan caruman ini bergantung kepada persetujuan majikan dan ia akan melibatkan semua pekerja asing di semua industri termasuk pembantu rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan Majlis Dialog Bermasa Majikan-Majikan Dalam Industri Getah di kementerian di sini hari ini.

Kula Segaran menambah, caruman itu boleh disifatkan simpanan keselamatan kerana pekerja asing boleh mengeluarkan wang mereka apabila mahu pulang ke negara-negara masing.

Pada masa sama, jelas beliau, kebajikan pihak majikan dapat dilindungi untuk mengelak pekerja asing melarikan diri secara tiba-tiba.

“Kementerian telah mengadakan konsultansi dengan pihak berkaitan dalam industri dan mengemukakan kepada NLAC  dan selepas ini saya akan bawa ke Kabinet untuk kelulusan.

“Cadangan caruman ini merupakan pelindungan kepada pekerja asing kerana mereka datang mencari rezeki dan kerajaan perlu memastikan mereka mendapat manfaat bersama.

“Bagaimana ahli keluarga kita pergi bekerja di luar negara seperti di Korea, kita pasti mahu mereka mendapat perlindungan ketika mencari rezeki di negara orang,” katanya.

Kula Segaran berkata, menerusi pelaksanaan itu juga, kerajaan akan tahu jumlah sebenar pekerja asing di negara ini berdasarkan jumlah mereka yang dicarum dan jika jumlah itu berkurangan pihak berkuasa akan dapat mengesan mereka. – MalaysiaGazette