Home Politik Sila tubuh parti baharu jika banyak sokongan

Sila tubuh parti baharu jika banyak sokongan

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah mengalu-alukan pewujudan parti politik baharu di negeri ini, atas dasar Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi.
TAWAU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah mengalu-alukan pewujudan parti politik baharu di negeri ini, atas dasar Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi.

Pengerusinya, Datuk Christina Liew berkata semua pihak mempunyai hak untuk mencuba nasib dengan menubuhkan parti sendiri.

“Terpulang kepada penerimaan permohonan dan kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Diebetes Sedunia peringkat daerah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas hasrat Bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman yang mahu menubuhkan sebuah parti politik di Sabah dengan Perjanjian Malaysia 1963, sebagai matlamat utama perjuangannya.

Dalam pada itu, Christina berkata Anggota Parlimen Kimanis itu boleh menubuhkan parti di Sabah jika yakin dan mampu meraih sokongan banyak.

“Silakan, dan untuk peringatan Sabah ini juga banyak parti politik dan saya sendiri pun sampai tidak tahu parti itu dipimpin oleh siapa,” katanya lagi.

Sementara itu, menurutnya belum ada permohonan daripada bekas pemimpin UMNO yang mahu menyertai PKR di negeri ini.

“Kalau ada (permohonan) saya akan rujuk kepada pusat itu saja,” katanya yang hanya mengikut polisi parti dan panduan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Baru-baru ini UMNO Sabah lumpuh selepas hampir kesemua anggota jawatankuasa badan perhubungan negeri itu termasuk Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Mohd Noor mengumumkan keluar parti.

Menurut Hajiji, kesemua ketua bahagian kecuali Tenom, Kalabakan, Sepanggar dan Kinabatangan, turut mengumumkan keluar parti.

Tindakan keluar parti yang berkuat kuasa itu turut melibatkan lima anggota Parlimen, sembilan Anggota Dewan Undangan Negeri dan dua senator.

–BERNAMA