Home Politik ADUN Perlis masih setia

ADUN Perlis masih setia

Dua perwakilan Pergerakan Puteri UMNO dilihat melintasi dinding yang dihiasi logo parti UMNO ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 07 DISEMBER 2017
Gambar hiasan.
PADANG BESAR – Ketika isu lompat parti di kalangan pemimpin UMNO semakin melebar, kesemua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis yang mewakili parti itu sepakat tidak berganjak daripada kesetiaan mereka.

Setiausaha Perhubungan UMNO Perlis, Azizan Sulaiman berkata, selagi parti itu masih wujud, mereka tetap setia menyokong parti yang memenangkan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri menyatakan demikian kepada Bernama di sini hari ini sebagai mengulas perkembangan terkini berkaitan isu lompat parti membabitkan wakil rakyat UMNO.

Azizan berkata biar apapun dilakukan pihak-pihak terbabit, “kami ADUN di Perlis tidak akan terjangkit dengan kelakuan atau pujukan mereka kerana kami mempunyai prinsip sendiri”.

Katanya, semua wakil rakyat UMNO di Perlis yang ada sekarang menghargai kerja keras dan perjuangan penyokong-penyokong akar umbi parti semasa PRU14 lalu untuk memastikan calon UMNO menang.

Tambah beliau, rakyat telah memberi amanah kepada mereka untuk menjalankan tugas sebagai wakil rakyat, justeru mereka tidak akan mengabaikan amanah tersebut.

Mengulas mengenai tindakan beberapa Adun dan Anggota Parlimen di beberapa negeri yang sanggup keluar parti, Azizan berkata tindakan itu amat dikesali.

“Mereka harus sedar segala habuan yang diperoleh mereka adalah hasil perjuangan parti dan penyokong-penyokong kuat parti, jadi fikirlah sendiri adakah layak untuk mereka terus menerima segala habuan yang diperoleh,” katanya.

Beliau menyifatkan golongan yang meninggalkan UMNO sebagai orang yang tidak mengenang jasa parti itu. – MalaysiaGazette