KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan dikecam apabila tiada seorang pun yang tampil membuat bantahan atau mengulas apabila nama Muhammad Zahid Md Arip dikaitkan dengan pertuduhan rasuah yang melibatkan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Bukan sahaja Setiausaha Politik Tun Dr Mahathir Mohamad itu tidak didakwa, malah kedudukannya tidak terjejas walaupun peranannya dalam sembilan daripada 10 pertuduhan, kata Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Dr Mahathir berkata, Zahid akan kekal dengan jawatannya selagi tidak didapati melakukan sebarang salah laku
“Mana suara-suara Kit Siang, Anwar, Gobind, Guan Eng dan pihak-pihak yang mendakwa kerajaan Pakatan Harapan mengamalkan Kedaulatan Undang-Undang dan kerajaan bersih.
Muhammad Zahid Md. Arip”Adakah semua pendukung kerajaan bersih ini telah disenyapkan sepenuhnya kerana kepentingan peribadi dan kedudukan mereka yang selesa dalam kerajaan pemerintah?,” soal Ahli Parlimen Ayer Hitam itu.
Nama Muhammad Zahid disebut dalam sembilan dari 10 pertuduhan yang dikenakan terhadap bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad kerana didakwa menerima sogokan RM3 juta dari pembelian sebuah hotel di Kuching.
Menurut pertuduhan itu, Muhamad Zahid didakwa menjadi perantara antara seorang pengarah di syarikat Gagasan Abadi bernama Ikhwan Zaidel dan Mohd Isa.
Muhammad Zahid sebelum ini telah ditangkap oleh SPRM pada Ogos 2017 berhubung urusan pembelian hotel itu dan telah direman selama lapan hari.
Mohd Isa didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Jumaat lalu atas 10 pertuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah dan menerima rasuah berjumlah RM3.09 juta berhubung pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak bernilai RM160 juta oleh Felda Investment Corporation (FIC).
Kesalahan didakwa dilakukan antara 29 April 2014 hingga 11 Disember 2015 di Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette