Home Politik Belum terlambat MP UMNO kembali ke pangkal jalan

Belum terlambat MP UMNO kembali ke pangkal jalan

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen UMNO yang sudah keluar parti itu untuk menyertai parti Pakatan Harapan (PH) masih belum terlambat untuk kembali ke pangkalan jalan.

Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka boleh bersama parti untuk membetulkan keadaan dan mencari jalan bagaimana mahu menyatukan hati rakyat demi perjuangan yang telah lama diperjuangkan.

Kata beliau, tindakan itu bukan sahaja disifatkan sebagai pembelot kepada rakyat, malah menyamai perbuatan membelot kepada agama dan orang Melayu keseluruhannya.

“Nasihat saya kepada rakan yang dah melompat keluar UMNO kembalilah ke pangkal jalan, masih tidak terlambat untuk anda membetulkan keadaan dan kembali menyatukan hati kita demi perjuangan yang telah lama kita bersama.

“Saya juga berharap 37 Ahli Parlimen yang masih kekal bersama UMNO ini tidak membuat keputusan yang membangkitkan kemarahan rakyat,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Selepas Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu, seramai 17 Ahli Parlimen dari UMNO telah melompat keluar parti, menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Ismail Sabri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, tindakan Ahli Parlimen terbabit secara tidak langsung menguntungkan musuh Islam dan orang Melayu, yang begitu gembira dan bertepuk tangan melihat keberantakan pemimpin UMNO hari ini.

Katanya, beliau yakin dan percaya tidak ada apa yang istimewa untuk dicari oleh mereka dalam parti PH, selain hanya bakal diperalatkan untuk memusnahkan Islam, Melayu dan Bumiputera.

“Jiwa seorang pemimpin seharusnya cekal dan tidak sewenangnya boleh dibolak-balik dengan janji manis yang belum pasti,” katanya. – MalaysiaGazette