Home Nasional Dituduh tidak bermakna salah, kata Dr Mahathir

Dituduh tidak bermakna salah, kata Dr Mahathir

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. foto SYAFIQ AMBAK, 17 DISEMBER 2018
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. foto SYAFIQ AMBAK, 17 DISEMBER 2018

CYBERJAYA- “Tuduhan sahaja tidak bermakna dia salah,” kata Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika ditanya mengenai pertuduhan rasuah yang melibatkan Setiausaha Politiknya, Muhammad Zahid Mat Arip.

Menurut Perdana Menteri, pertuduhan itu dibuat mengikut asas-asas yang ada.

Bagaimanapun, seseorang itu perlu melalui proses perbicaraan dan dibuktikan bersalah sebelum boleh dihukum.

“Kita tunggu sehingga dibicarakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nama Muhammad Zahid disebut dalam sembilan daripada 10 pertuduhan yang dikenakan terhadap bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Abdul Samad yang didakwa menerima sogokan RM3 juta dari pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak.

Menurut pertuduhan tersebut, Muhammad Zahid didakwa menjadi perantara untuk seorang pengarah syarikat.

Beliau sebelum ini pernah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan direman selama lapan hari berhubung urusan pembelian hotel tersebut pada Ogos 2017.-MalaysiaGazette