Home Ekonomi Inflasi utama diunjur meningkat 2.7% tahun depan

Inflasi utama diunjur meningkat 2.7% tahun depan

KUALA LUMPUR – Inflasi utama di Malaysia pada 2019 diunjurkan meningkat kepada 2.7 peratus, sebahagian besar didorong oleh tekanan tambahan susulan peralihan kepada subsidi bahan api bersasar, kesan limpahan berterusan pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan kesan asas yang rendah semasa tempoh cukai sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan.

Ram Rating Services Bhd (RAM Ratings) berkata, unjuran inflasi bagi 2019 masih bergantung kepada pelaksanaan mekanisme subsidi bahan api bersasar pada suku kedua tahun depan kerana butiran terperinci mengenai pelaksanaannya, seperti mekanisme pengagihan, masih belum diperoleh.

Agensi penarafan kredit itu berkata, satu lagi risiko penting terhadap unjurannya ialah ketidakstabilan harga minyak mentah global memandangkan kadar inflasi pada 2019 sangat bergantung kepada sejauh mana berkesannya pengurangan bekalan oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dalam menyokong harga minyak mentah global.

Berdasarkan anggaran kami, setiap pergerakan US$5 pada harga purata minyak mentah Brent akan mengubah inflasi utama dengan kira-kira 0.3 mata peratusan pada 2019, tanpa sebarang kesan pusingan kedua terhadap harga,” kata Ketua Penyelidikan RAM Ratings, Kristina Fong dalam satu kenyataan hari ini.

RAM Ratings juga menjangkakan Bank Negara Malaysia akan mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3.25 peratus pada 2019, berdasarkan keperluan untuk mengimbangi tekanan aliran keluar modal dan sokongan ke atas pertumbuhan.

“Walaupun inflasi utama dijangkakan meningkat tahun depan, kadar peningkatan masih tidak jelas, berbanding risiko penurunan pertumbuhan daripada penyepaduan fiskal yang berterusan, pasaran modal yang tidak menentu, ketegangan perdagangan AS-China dan ketidakpastian Brexit,” kata Fong.

Sementara itu, RAM Ratings berkata, kadar inflasi utama Malaysia berkurangan kepada 0.3 peratus pada November berbanding 0.6 peratus pada bulan sebelumnya, disokong oleh kesan penurunan harga asas harga bahan api runcit.

“Berdasarkan inflasi makanan yang rendah dan tekanan deflasi daripada pengenalan semula subsidi bahan api dalam tempoh berbaki 2018, inflasi keseluruhan dijangkakan pada purata 1.0 peratus pada 2018, berbanding 3.7 peratus pada 2017,” katanya. – MalaysiaGazette