KUALA LUMPUR – Kadar pelabur asing menjual saham-saham di bursa meningkat minggu lalu – menandakan minggu keenam jualan bersih asing tanpa gangguan.
Berdasarkan data bursa, dana asing menjual sejumlah RM314.3 juta ekuiti tempatan pada minggu lalu, lebih daripada tiga kali ganda aliran keluar berbanding minggu sebelumnya.
MIDF Research berkata, aliran keluar dana asing pada hari Isnin berjumlah RM171.8 juta kerana inflasi China yang mengecewakan dan data perdagangan telah menjejaskan sentimen pelabur.
Pelabur luar pesisir terus menjual ekuiti pada hari Selasa dengan jumlah RM219.2 juta, angka terbesar dalam 10 hari urus niaga, sekali gus meregangkan jualan harian di bursa hingga empat hari.
Jualan saham ini dicetuskan oleh penangguhan Theresa May terhadap undi Brexit di Parlimen, selain kemerosotan Keluaran Dalam Negara Kasar Jepun lebih daripada 4 tahun.
Firma penyelidikan itu berkata, dana antarabangsa kembali menjadi pembeli pada hari Khamis dengan jumlah RM123.3 juta – paras tertinggi sejak awal November tahun ini.
Prestasi belian ini didorong oleh perang perdagangan Amerika Syarikat-China yang semakin reda apabila Beijing merancang untuk menurunkan tarif ke atas barangan Amerika Syarikat kepada 15 peratus berbanding 40 peratus.
MIDF Research berkata, suasana menjadi suram pada hari Jumaat apabila jualan runcit China berkembang pada kadar paling perlahan sejak tahun 2003 sementara output perindustriannya meningkat paling sedikit dalam tempoh tiga tahun.
Situasi itu mempengaruhi pelabur asing dengan menyaksikan aliran keluar sebanyak RM133.1 juta dari bursa pada hari yang sama.
Dengan dua minggu lagi sebelum 2018 berakhir, aliran keluar bersih tahun ke tahun dari Malaysia telah mencecah RM11.1 bilion atau AS$2.73 bilion.
Walaupun jumlah ini mengimbangi inflasi bersih tahun lepas, Malaysia masih menjadi negara yang mempunyai paras terendah kedua hingga kini dalam kalangan tujuh pasaran Asia yang dipantau, kata firma itu. – MalaysiaGazette