KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerima satu lagi tamparan apabila pasangan beregu campuran Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying meninggalkan pasukan kebangsaan.
BAM dalam satu kenyataan berkata, pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu mengemukakan permohonan untuk berundur daripada pasukan berkenaan mulai 1 Januari 2019.
“BAM ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kami kepada pemenang pingat perak Olimpik 2016 itu, yang memainkan peranan besar dalam pembangunan dan kemajuan acara beregu campuran di Malaysia.
“BAM mengucapkan selamat maju jaya dalam apa jua langkah yang mereka ambil pada masa akan datang,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, beberapa pemain meninggalkan pasukan kebangsaan itu dengan memberi pelbagai alasan. Mereka termasuk Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Tee Jing Yi, Chooi Kah Ming dan Lim Khim Wah. – MalaysiaGazette