Home Politik Rakyat akan ‘hukum’ pemimpin UMNO keluar parti

Rakyat akan ‘hukum’ pemimpin UMNO keluar parti

Najib Tun Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa tidak senang dengan tindakan beberapa pemimpin UMNO yang bertindak keluar parti.

Beliau menyifatkan mereka yang berbuat demikian sebagai seorang individu yang tidak berpegang kepada prinsip perjuangan.

Menurutnya, walaupun pelbagai alasan diberikan untuk meninggalkan UMNO namun mereka sepatutnya berpegang kuat kepada prinsip dan nilai diri.

“Prinsipnya kita bertanding atas parti, kita dipilih mewakili parti dan kita disokong oleh ahli-ahli parti. Kalau kita ada apa-apa yang tak puas hati kita kena usaha melalui proses dalam parti, melalui perlembagaan parti,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook dalam rancangan Nothing to Hide to Media bersama Datuk Puad Zakarshi malam ini.

Najib berkata, mereka boleh membuat keputusan untuk keluar parti tetapi rakyat pasti akan ‘menghukum’ mereka.

Jelas beliau, kelazimannya mereka yang melompat parti tidak akan selamat kerana kredibiliti mereka akan dipersoal.

“Kita sudah menang atas usaha penyokong parti tiba-tiba kita nak lompat parti, itu prinsip yang tidak betul,” ujarnya. – MalaysiaGazette