KUALA LUMPUR – Rangka manusia berusia kira-kira 6,000 tahun hingga 8,000 tahun sedang memegang makanan berupa siput ditemui di Gua Chawan, Nenggiri, Ulu Kelantan pada 2 November lalu.
Penemuan rangka yang dipercayai remaja perempuan itu hasil kerjasama pegawai dan kakitangan Bahagian Arkeologi dari Jabatan Warisan Negara bersama-sama penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Menurut Jabatan Warisan Negara (JWN) rangka ini remaja perempuan berdasarkan tulang pelvis yang dijumpai pada rangka tersebut. Ia dikebumikan dengan bahagian kaki dan kepala dilapik dengan batu kapur,” kata Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi.
Kata beliau, turut ditemui adalah bahan artifak iaitu alat litik, batu pengisar, mata lembing, sisa makanan berupa tulang makanan dan cengkerang selain tembikar tanah.
Jelas beliau, penemuan rangka ribuan tahun ini adalan fakta baharu yang penting terhadap maklumat pengkebumian kehidupan zaman prasejarah di negara ini.
Tambahnya, sampel gigi dan cangkerang rangka itu akan dihantar ke Makmal Beta di Amerika Syarikat untuk pentarikhan secara kronometrik.
“Sebagai langkah awal, rangka ini dibawa keluar dari Gua Chawan pada 10 November yang lalu dan kini ditempatkan di makmal sementara konservasi JWN untuk kerja-kerja merekod dan pemuliharaan rangka secara menyeluruh, dan dijangka akan mengambil masa sekurang-kurangnya 60 hari sehingga selesai pencatuman, pengawal kelembapan, suhu dan pembersihan dilakukan,” katanya.
Rangka itu hasil penelitian dipercayai daripada zaman Mesolitik. -MalaysiaGazette