KUALA LUMPUR- Institut Jantung Negara (IJN) telah memberikan bantuan dan rawatan yang terbaik kepada Muhammad Adib Mohd. Kassim, bagaimanapun kecederaan yang dialami Allahyarham sangat teruk menyebabkan anggota bomba berusia 24 tahun itu tidak dapat diselamatkan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, keadaan Muhammad Adib adalah kritikal dengan paras oksigen sangat rendah ketika dia dibawa ke hospital pada 26 November lalu.
“Tanpa bantuan awal yang diberikan oleh pasukan perubatan, saya rasa dia tidak mampu bertahan dengan keadaan kecederaan yang sangat teruk itu.
“Paras oksigennya sangat rendah ketika dibawa ke hospital dan saya rasa doktor-doktor di IJN telah memberikan rawatan yang terbaik kepadanya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia: Merealisasikan Potensi Manusia oleh Bank Dunia hari ini.
Sambil menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Muhammad Adib, Dr. Boon Chye menyerahkan perkara tersebut untuk disiasat polis.
Muhammad Adib meninggal dunia pada jam 9.41 malam tadi di IJN.- MalaysiaGazette