KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui UMNO kini terbahagi kepada lima golongan.
Beliau yang mengumumkan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan memangku jawatan Presiden UMNO malam ini berkata, golongan pertama ialah mereka kekal dan setia dengan parti.
Golongan kedua, katanya, pihak yang mahu bergabung dengan salah satu parti dalam Pakatan Harapan (PH).
Ketiga, golongan yang berusaha bergabung dengan salah satu parti dalam PH yang mempunyai kolaborasi dengan DAP.
“Keempat, golongan yang mahu bergabung dengan Pas dan kelima golongan yang mahu parti begerak dalam satu bentuk koalasi baru,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam Wacana 3.0 Penerangan UMNO Malaysia: Perbincangan Ilmiah & Dinamik malam ini.
Walaupun menghormati pandangan semua pihak namun beliau menegaskan UMNO tidak akan bergabung dengan mana-mana parti.
“Kita bergerak sekarang sebagai pembangkang, kita bina kekuatan bina kesatuan dan kerjasama dengan DAP kita tolak 100 peratus, (walaupun tahu) kita tahu ada kedai dalam kedai dalam pembangkang,” ujarnya lagi.
Mengenai wakil rakyat UMNO yang keluar parti, analisis parti mendapati ada dalam kalangan mereka ada masalah di bahagian kerana tidak menjadi ketua bahagian.
“Ada juga rasa sangat bersalah sebab daki dan karat banyak mereka takut saya alami mereka akan alami,” katanya.
Ada juga kerana mereka terlalu selesa semasa menjadi kerajaan dan apabila tidak ada peruntukan mereka mencari dahan yang teguh, katanya.
Ada juga dalam kalangan mereka tidak suka seseorang tokoh cuba bawa kawan-kawan lain kerana khuatir tokoh itu ambil alih kepimpinan ada alasan peribadi tetapi siapa makan cili mereka akan terasa pedas,” katanya.- Malaysiagazette