Home Nasional Xing Xing, Liang Liang balik kampung lebih awal

Xing Xing, Liang Liang balik kampung lebih awal

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, wang berjumlah banyak yang digunakan untuk memelihara Xing Xing dan Liang Liang di Zoo Negara telah menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat yang mahu dua ekor panda itu dipulangkan ke China.
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, wang berjumlah banyak yang digunakan untuk memelihara Xing Xing dan Liang Liang di Zoo Negara telah menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat yang mahu dua ekor panda itu dipulangkan ke China. foto Arkib MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Malaysia mungkin perlu mengucapkan selamat tinggal lebih awal kepada dua ekor panda yang berada di Zoo Negara kerana kos peliharaan mereka yang tinggi dan membebankan kerajaan.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, wang berjumlah banyak yang digunakan untuk memelihara Xing Xing dan Liang Liang di Zoo Negara telah menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat yang mahu dua ekor panda itu dipulangkan ke China.

“Saya akan membawanya ke Kabinet dahulu sebelum persetujuan yang seterusnya (dengan China) ditandatangani.

” Perbincangan seterusnya dengan China akan dilakukan dalam tempoh dua tahun,” katanya kepada China Press.

Beijing dan Kuala Lumpur pada 2013 menandatangani persetujuan supaya dua ekor panda, yang kemudian dinamakan sebagai Xing Xing dan Liang Liang, disewakan kepada Malaysia selama 10 tahun.

Persetujuan itu dicapai selari dengan sambutan ulang tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan China yang ke-40. Dua ekor panda itu tiba di Malaysia pada 21 Mei 2014.

Kos sewa untuk dua ekor panda itu ialah RM4.18 juta setiap tahun, kos insurans sebanyak RM50,000 seekor setahun, bayaran kos untuk anak panda pula ialah RM2.51 juta untuk dua tahun.

Kerajaan juga memperuntukkan RM10 juta untuk pembinaan taman panda di Zoo Negara manakala 1Malaysia Sdn. Bhd. (1MDB) menyumbangkan RM15 juta untuk taman itu. – MalaysiaGazette