Home Utama Hidupnya macam orang biasa tapi pemergiannya beri kesan besar

Hidupnya macam orang biasa tapi pemergiannya beri kesan besar

Ibu saudara, Noor Anisah Jamal tidak dapat menahan kesedihan semasa bercakap ketika ditemubual mengenai Allayarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia akibat insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya di kediamannya terletak di Kampung Tebengau, Jalan Kuala Kedah, Kedah. foto AFFAN FAUZI, 19 DISEMBER 2018

KUALA KEDAH – Semasa hayatnya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim hanya orang biasa yang tak dikenali namun kematiannya kini menjadi sebutan kerana dianggap wira. 

Ibu saudaranya berkata, seluruh keluarga tidak menyangka, tugas  Muhammad Adib sebagai bomba berakhir dengan kematiannya. 

Walaupun seisi keluarga merasa perit kehilangan anak lelaki kedua Mohd Kassim Abdul Hamid namun tidak dapat dinafikan pemergiannya membawa erti yang besar.

“Hidupnya sebagai orang biasa, tapi perginya cukup memberi kesan, dapat tumpuan,” kata Noor Anisah Jamal kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sekali pun tiada kenangan manis bersama allahyarham namun sebagai ibu saudara yang juga merupakan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Laksamana tempat Muhammad Adib belajar dari tingkatan 1 hingga 5, dia melihat anak saudaranya itu sebagai pelajar berdisiplin.

“Adib baik. Adib budak baik, tak pernah ada masalah disiplin di sekolah memang semua cikgu pun gambarkan dia macam tu sebab dia memang tak pernah ada masalah disiplin. Tak pernah susahkan cikgu-cikgu,” katanya ketika mengimbau pekerti allahyarham.

Pengorbanan besar Adib patut diingati sampai bila-bila kerana demi tugas dia  sanggup merisikokan dirinya.

Sebelum ini, bekas Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Dr. Soh Chai Hock menyifatkan insiden yang menimpa Muhammad Adib dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman sebagai yang pertama dalam sejarah pasukan itu apabila insiden sedemikian tidak pernah berlaku sepanjang beliau berkhidmat selama 36 tahun.- MalaysiaGazette