KUALA LUMPUR – “Sibuk merebut kuasa sesama sendiri, sibuk menjual aset-aset negara, siapa yang jaga ekonomi kita pada masa kini?” soal bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu hantaran di Facebooknya.
Menurut Najib, di sebalik kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mengumumkan pertambahan pelaburan asing kepada 360 peratus selepas Pakatan Harapan memerintah negara, data Bank Dunia menunjukkan sebaliknya.
Semalam, Bank Dunia di dalam laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.7 peratus berbanding unjuran yang dibuat dua bulan lepas iaitu 4.9 peratus.
Antara faktor penyumbang kepada penurunan unjuran tersebut menurut Bank Dunia adalah kemerosotan pelaburan.
“Bulan lepas, Guan Eng kata pelaburan asing sudah meningkat 360% selepas PRU14.
Tetapi, Bank Dunia kata pelaburan ke dalam ekonomi kita lemah.
Siapa yang betul ini?” katanya.
Tambah Najib, Bank Dunia pernah menaikkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak tiga kali sebelum Pilihanraya ke-14 dengan kali terakhir adalah pada April lalu.
Bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi Malaysia semakin perlahan dengan unjuran-unjuran daripada Bank Dunia, firma-firma penyelidikan diturunkan lebih rendah berbanding ramalan awal.
Malah nilai saham di Bursa Malaysia juga hilang sebanyak RM300 bilion dengan indeks FTSE Bursa Malaysia jatuh 260 mata sejak PRU14, katanya. – MalaysiaGazette