Home Politik UMNO bertahan 25 tahun lagi – Ibrahim Ali

UMNO bertahan 25 tahun lagi – Ibrahim Ali

Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – UMNO tidak akan mati, sekurang-kurangnya dalam tempoh 25 tahun akan datang, kata bekas Ketua Bahagian Pasir Mas, Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali.

Beliau berkata, walaupun berlaku lompat parti oleh sebahagian besar Ahli Parlimen dari UMNO, Ketua-ketua Bahagian dan pemimpin di peringkat akar umbi, ia tidak memberi kesan jangka panjang.

Cuma katanya, UMNO akan pulih sama ada cepat atau lambat bergantung kepada kebijaksanaan ketua dan barisan kepemimpinan parti untuk menentukan hala tuju.

“Kalau UMNO tinggal kosong kerusi di Parlimen pun saya tetap mengatakan UMNO tidak akan mati. UMNO tetap akan hidup, cuma tunggu kedatangan pemimpin baharu yang boleh memimpin parti ini.

“Pemimpin baharu ini tidak kira usianya muda atau tua. Yang penting, mereka bersih, jujur, amanah, tidak hipokrit dan tidak munafik. Insha-Allah UMNO boleh hidup balik,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Dr Ibrahim yang merupakan bekas Ahli Parlimen Pasir Mas secara peribadi berpendapat kekuatan UMNO, hidup mati parti Melayu itu bukan bergantung kepada Ahli Parlimen atau pimpinan yang ada sekarang.

Katanya, beliau berkata begitu kerana Ahli Parlimen UMNO yang ada sekarang, yang menang PRU 14 Mei lalu, adalah hasil daripada sokongan ahli parti yang berada di merata tempat.

“Bahkan, nama UMNO ini sebati dengan orang Melayu. Sebut Melayu, automatik mereka UMNO, sama seperti kalau Islam itu adalah Pas. Persepsi ini sudah hampir 65 tahun, susah hendak kikis.

“Tambahan pula kalau generasi beruisa 40 tahun ke atas, mereka tentunya terhutang budi dengan UMNO. Mereka akan ingat segala jasa, peranan dan pengorbanan UMNO,” ujarnya.

Menurut Dr Ibrahim, rakyat Malaysia amat bertuah kerana Allah menganugerahkan bumi yang begitu istimewa dan mewah seperti minyak, getah dan kelapa sawit.

Rakyat pun ramai, katanya, selain semua pemimpin adalah orang Melayu, beliau sedih kenapa kenapa Melayu boleh berpecah belah sehingga hilang perpaduan dan keharmonian. – MalaysiaGazette