PETALING JAYA – Kira-kira 30 ahli akar umbi PKR, hari ini bertindak membuat laporan kepada Lembaga Disiplin parti terhadap bekas pemimpin pusat parti itu, Latheefa Koya.
Menurut Ketua Penerangan PKR Cabang Klang, tindakan peguam parti itu yang mempertikai lantikan pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) adalah satu fitnah terhadap Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga parti.
“Kami berpendapat bahawa kenyataan itu berbaur fitnah, cuba merosakkan imej parti dan telah melanggar parti disiplin.
“Kami di sini mengemukakan aduan bertulis berhubung salah laku disiplin anggota kepada Lembaga Disiplin,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat parti itu hari ini.
Selain Cabang Klang, turut membuat aduan sama adalah Cabang Indera Mahkota, Pahang.
Hadir sama kepimpinan tiga lagi Cabang yang menyokong aduan itu antaranya Cabang Paya Besar, Kuala Langat dan Kelana Jaya.
“Kita hormati Latheefa untuk bersuara, semuanya boleh mengkritik tetapi perlulah ikut saluran yang betul tanpa ada manipulasi dari media, menyerang kepimpinan di media sosial itu menunjukkan kelemahan dalaman parti. Hari ini rakyat sudah muak dengan peristiwa yang berlaku membabitkan pimpinan parti,” kata Farazi lagi.
Latheefa pada Isnin lalu mempertikai pelantikan MPN PKR yang dibuat oleh Anwar.
Katanya, lantikan itu telah menyebabkan parti menjadi berkelompok dan berpuak-puak.
Malah beliau turut mendakwa bahawa lantikan itu terarah kepada dua puak utama dalam PKR.
“Kenapa ketidakseimbangan ini berlaku dan memihak kepada satu puak?
“Pelantikan yang memihak kepada satu puak tertentu sama seperti kronisme, yang merupakan ancaman kepada mana-mana pembaharuan parti,” katanya memetik laporan tersebut.
Latheefa menambah sekurang-kurangnya Pahang dan Sabah, calon-calon yang dipilih pada awalnya tidak memperoleh sokongan majoriti di kalangan ketua-ketua bahagian negeri.
Beliau mendakwa ketua bahagian “menukar sokongan mereka” selepas dipanggil untuk bertemu Anwar.
Sementara itu di Johor, Negeri Sembilan dan Selangor, beliau mendakwa Presiden telah memilih sendiri calon walaupun calon lain lain menerima sokongan majoriti ketua bahagian. -MalaysiaGazette