PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Luar Bandar menubuhkan Tabung Wira Merah buat Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim dalam usaha meringankan beban keluarganya.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, sumbangan untuk tabung itu akan dibuka selama sebulan bermula hari ini.
Jelas beliau, Tabung Wira itu juga akan diletakkan di agensi-agensi bawah kementerian bagi mengajak semua kakitangan menghulurkan bantuan.
“Bagi pihak kementerian, saya berasa sedih dengan kejadian yang menimpa allahyarham Muhammad Adib dan bersimpati dengan nasib keluarga arwah.
“Saya juga berharap suspek yang membunuh allahyarham akan dapat ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.
“Sebagai tanda prihatin, sumbangan tabungan ini untuk keluarga mangsa adalah penghargaan kementerian kepada arwah,” katanya.
Beliau berkata kepada pihak media selepas Majlis Penyerahan Tabung Bencana Gempa Bumi dah Tsunami Sulawesi di kementeriannya di sini hari ini.
Sebanyak RM82,500.60 telah dikutip tabung tersebut hasil sumbangan bahagian dan agensi kementerian.
Muhammad Adib parah dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November lalu dan terpaksa mendapat rawatan rapi di Institut Jantung Negara (IJN) tetapi akhirnya meninggal dunia kira-kira 9.41 malam Isnin lalu.
Pemergian anggota bomba berusia 24 tahun itu meruntun jiwa pelbagai pihak dan mencatat sebuah lagi episod duka buat seluruh rakyat Malaysia.
Pada 15 Disember lalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mewujudkan satu tabung khas yang dikenali Tabung Wira Merah buat anggotanya, Muhammad Adib.
JBPM dalam satu kenyataan memberitahu, tabung berkenaan diwujudkan bagi membolehkan orang ramai menyampaikan sumbangan mereka kepada waris Muhammad Adib. – MalaysiaGazette