KUALA LUMPUR – Menteri-menteri Pakatan Harapan (PH) yang acap kali mengajak rakyat mencontohi Jepun diminta menjadi pemimpin bermaruah seperti ahli politik negara itu.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pemimpin-pemimpin PH sepatutnya mempraktikkan apa yang dicakap melalui perbuatan mereka.
Melalui kenyataan di Facebooknya, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu menyindir Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang hari ini mengajak masyarakat menjadi manusia yang berdisiplin seperti orang Jepun, rajin bekerja, berintegriti tinggi serta melawan rasuah.
Kata Ka Siong, sejuk mendengar kenyataan Maszlee itu.
Namun, beliau mempersoalkan adakah Kabinet baharu mempraktikkan amalan Jepun itu dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH)?
Ini kerana, katanya, pada 3 September 2018, hanya beberapa bulan PH memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), Setiausaha DAP Lim Guan Eng dibebaskan daripada pertuduhan rasuah selepas pendakwa raya memutuskan untuk menggugurkan kes tersebut. Jika masih ingat, ketika itu adalah hari ‘terkejut’ negara.
Beliau turut mengajak rakyat Malaysia mengimbau sejarah negara sekitar tahun 1980an, yang mana Penasihat DAP Lim Kit Siang pernah menulis dan menerbitkan buku mengenai skandal BMF.
Ketika itu, katanya, nama Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mahathir sentiasa disebut-sebut Kit Siang, malah, turut membawanya ke dalam Dewan Rakyat.
“Persoalannya, seriuskah perjuangan Kit Siang? Adakah Kit Siang seorang pemimpin yang berprinsip dan berintergriti?,” soalnya.
Mengulas kenyataan Maszlee, Ka Siong bertanya, tahukah Menteri Pendidikan itu bahawa di Jepun, pemimpinnya begitu menjaga maruah.
Jelasnya, pada 2 Jun 2010, Perdana Menteri Jepun, Yukio Hatoyama meletakkan jawatan selepas hanya lapan bulan menerajui kerajaan, sebahagian besarnya kerana memungkiri janji yang dibuat semasa berkempen dalam pilihanraya.
Namun, pada hari ini sudah masuk tujuh bulan PH memerintah yang mana tempoh 100 hari pun sudah lama berlalu, PH pula memberi alasan bahawa manifesto bukan kitab suci.
Pada 26 April 2017, Menteri yang bertanggungjawab terhadap pembinaan semula Jepun selepas bencana, Masahiro Imamura meletak jawatan sebab ‘terlepas cakap’.
“Agak-agak berapa kali menteri PH termasuk Maszlee terlepas cakap?,” soalnya lagi.
Pada 28 Julai 2017, Menteri Pertahanan Jepun, Tomomi Inada, meletak jawatan susulan insiden kesilapan dan salah laku membabitkan kementeriannya.
“Oleh yang demikian, memandangkan PH sendiri acap kali mengajak rakyat mencontohi Jepun maka, para menteri PH juga haruslah menjadi pemimpin yang bermaruah seperti negara itu. Cakap dan buat,” ujarnya. – MalaysiaGazette