PUTRAJAYA – Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan membawa tiga isu utama sebagai usul untuk dibincangkan pada Perhimpunan Agung parti itu minggu depan.
Ketuanya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, tindakan itu bertujuan membawa suara akar umbi berlandaskan kepada permasalahan golongan wanita pada hari ini.
Katanya yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, usul itu bakal menyentuh perkembangan dalam bidang politik, ekonomi dan pendidikan.
“Seperti isu kuota tertentu untuk diisi oleh golongan wanita dalam mana-mana sektor atau peringkat, ia sudah lama dibangkitkan.
“Ia bukannya isu yang perlu dilaung-laungkan pada perhimpunan tapi pelaksanaan yang penting.
“Contoh seperti kuota 30 peratus untuk wanita dalam Majlis Pengurusan Komuniti Kampung telah pun bermula,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kecemerlangan dan Bantuan Persekolahan Anak-Anak Warga Kementerian Pembangunan Luar Bandar di sini hari ini.
Sementara itu, seramai 1,600 perwakilan PPBM akan menghadiri Perhimpunan Agung kali kedua parti itu yang dijadualkan berlangsung pada 28 hingga 30 Disember ini.
Jumlah itu melibatkan sebanyak 135 bahagian di seluruh negara dengan 98 bahagian melibatkan sayap Srikandi manakala 115 pula adalah sayap Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada). – MalaysiaGazette