Home Politik Wujud RUU akta lompat parti

Wujud RUU akta lompat parti

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan mencadangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti pada persidangan Parlimen Mac akan datang.

Katanya, akta itu penting bagi mengelakkan sesebuah parti kehilangan kerusi begitu sahaja, sedangkan kemenangan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) atas pilihan rakyat berdasarkan parti didukungnya.

Beliau juga berkata, perbuatan lompat parti selain mencemarkan sistem demokrasi, ia juga mengkhianati pengundi.

“Lompat parti juga melanggar etika parti dan jika ada dalam kalangan Ahli Parlimen mahupun ADUN lompat parti, automatik perlu diadakan pilihan raya kecil.

“Manakala mereka yang lompat parti tidak dibenarkan sama sekali bertanding dalam pilihan raya itu,” katanya dalam ciapan Twitternya hari ini.

Setakat ini belum ada sebarang akta bagi menghalang Ahli Parlimen mahupun ADUN yang lompat parti diadakan pilihan raya kecil. – MalaysiaGazette