Home Nasional Polis Pahang siap siaga hadapi PRK C. Highlands

Polis Pahang siap siaga hadapi PRK C. Highlands

Mohd Zakaria Ahmad
Mohd Zakaria Ahmad

KUALA LUMPUR – Menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 26 Januari depan, polis Pahang mula mengambil langkah bersiap sedia untuk menjalankan tugas menjaga keselamatan.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad, pihaknya sudah mengadakan mesyuarat minggu lepas berhubung penugasan anggotanya sepanjang kempen PRK berkenaan.

Memetik laporan Berita Harian Online, beliau berkata, persiapan itu dibuat awal bagi memastikan proses PRK Cameron Highlands berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan atau berlaku kejadian tidak diingini.

“Tahap kesiapsiagaan pegawai dan anggota kita berada dalam keadaan terbaik bagi memastikan PRK Cameron Highlands berjalan lancar.

“Kita juga sudah bersiap sedia untuk bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan tugas secara tersusun.

“Berkaitan jumlah pegawai dan anggota yang bakal ditugaskan nanti, kita tidak berdepan masalah kerana sumber tenaga PDRM Pahang mencukupi dan dibantu kakitangan agensi lain untuk tujuan mengawal tempat letak kenderaan sebagai contoh, atau perkara lain membabitkan keselamatan komuniti di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Pahang di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, hari ini.

PRK Cameron Highlands diadakan semula susulan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya di Kuala Lumpur pada 30 November lalu, mengisytiharkan kerusi Parlimen itu kosong selepas mendapati wujud amalan rasuah membawa kepada kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk C Sivarraajh.

Calon DAP, M Manogaran, mengemukakan petisyen pada Jun lalu mendakwa Sivarraajh melanggar Akta Pilihan Raya 1954 apabila didakwa menyogok pengundi Orang Asli.

Manogaran mendakwa, Sivarraajh yang berkempen bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, membayar penduduk Orang Asli antara RM30 hingga RM1,000 melalui tok batin bagi memastikan kemenangan BN dalam pertandingan lima penjuru.

Sivarraajh menang dengan undi 10,307 undi, manakala Manogaran memperoleh 9,710 undi.

Calon PAS, Wan Mahadir Wan Mahmud memperoleh 3,587 undi; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), B Suresh Kumar (680) dan calon parti Berjasa, Mohd Tahir Kassim (81). – MalaysiaGazette