Home Politik PRK C. Highlands, BN serah kepada MIC

PRK C. Highlands, BN serah kepada MIC

Datuk Seri Mohamad Hasan pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 21 Disember 2018

KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) menghormati penyusunan dan persetujuan yang dicapai oleh Presiden parti komponen BN dalam meletakkan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, memandangkan Cameron Highlands adalah kerusi tradisi MIC, maka keputusan siapa calon diberikan kepada parti itu untuk menentukan.

“Kita masih hormati susunan dan persetujuan, dan terpulang pada Presiden MIC untuk calonkan siapa. Terpulanglah pada MIC.

“Walaupun BN belum mengadakan mesyuarat dan perbincangan, tetapi memandangkan presidennya sudah membuat keputusan, kita ambil apa yang terbaik daripada mereka,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini.

Menurut Mohamad, MT bersetuju untuk melantik Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Pengarah PRK Parlimen Cameron Highlands, manakala akan dipantau oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – MalaysiaGazette