Majlis Tertinggi (MT) UMNO bersetuju memberi autonomi penuh kepada UMNO Sabah dan setiap negeri untuk menyusun sendiri strategi ke arah memperkasakan parti.
Timbalan Presiden yang menjalankan tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, pihaknya melihatkan itu kaedah terbaik bagi UMNO untuk kembali pulih dari kejatuhan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu dan tindakan sebilangan besar Ahli Parlimen serta Ketua Bahagian keluar parti.
“Mesyuarat hari ini, kita (MT) bersetuju memberi autonomi penuh kepada UMNO Sabah dan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri. Walaupun di Sabah ramai Ahli Parlimen dan ketua bahagian keluar parti, kita akan pastikan mereka yang ada bangkit semula,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan kali pertama Mesyuarat Khas MT UMNO hari ini.