KUALA LUMPUR 29 Nov. – Malik Streams Corporation dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) telah menyumbang RM50,000 dengan mengagihkan keperluan barangan sekolah di bawah Program ‘Kembali Ke Sekolah 2019’, di Sarah Hughes @Globe Mall hari ini.
Inisiatif ini telah memberi manfaat sangat bermakna buat 340 pelajar seluruh negara dalam kalangan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) terutamanya ketika menjelang musim persekolah yang pastinya memerlukan perbelanjaan besar bagi tujuan itu.
Malik Streams Corporation yang diterajui oleh Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Malik Dasthigeer mengadakan program ini buat julung kalinya mendapat inspirasi malah tergerak hati untuk membantu golongan ini selepas melihat sendiri bebanan yang ditanggung terutamanya kekangan kewangan.
Bagi beliau, pendidikan adalah fokus utama dan kekangan kewangan tidak seharusnya menjadi isu sehingga menyebabkan golongan ini terbeban atau tercicir.
Malah jelas beliau, sebagai tanggungjawab sosial, inisiatif seperti ini tidak seharusnya hanya dilaksanakan oleh kerajaan, sebaliknya sudah menjadi satu kemestian bagi golongan mampu seperti ahli korporat sepertinya.
“Kerja amal ini telah saya lakukan sejak mula bergelar ahli perniagaan beberapa tahun lepas, bukan sahaja program ‘Kembali Ke Sekolah’ tetapi apa sahaja yang melibatkan golongan tidak berkemampuan seperti anak-anak yatim, warga emas, ibu tunggal khasnya pada bulan perayaan serta hari-hari penting. Hampir 3,000 orang akan kami raikan tiap tahun.
“Syarikat kami juga menaja 60 golongan fakir miskin untuk mengerjakan umrah di Tanah Suci tiap tahun, bukan sahaja wang ringgit tetapi bekalan makanan kepada yang memerlukan menjadi kepentingan kami. Program CSR bukan sekadar ‘suka-suka’ sahaja sebaliknya benar-benar satu tanggungjawab sosial.
“Program Back To Scool atau Kembali Ke Sekolah ini diadakan secara julung dengan hebahan lebih sebulan bagi mencari golongan yang benar-benar memerlukan untuk memastikan bebanan kumpulan ini dapat ditanggung oleh kami sekali.
“Pada saya, pendidikan itu satu aspek yang amat penting dan ianya tidak seharusnya dianggap sebagai satu beban terutamanya apabila melibatkan kewangan, saya teruja dan gembira apabila melihat senyuman di wajah-wajah ini.
“Satu kepuasan dan kelegaan jelas terpancar pada wajah-wajah ini. Satu kegembiraan yang saya sukar gambarkan tetapi apa yang boleh saya ikrarkan, sumbangan serta bantuan terdaya saya lakukan akan diteruskan sehingga bila-bila,” katanya selepas majlis penyerahan tersebut.
Abdul Malik sangat terkenal di negara ini malah seluruh dunia khasnya India kerana pembikinan filem hero Kollywood, Rajinikanth pada 2016 yang masih lagi menjadi fenomena sehingga kini.
Rajinikanth bukan sahaja berjaya ‘dipujuk’ oleh Abdul Malik untuk tinggal hampir 60 hari di negara ini malah juga begitu dekat dengan masyarakat di negara ini, pembikinan filemnya juga hampir 90 peratus di sini.
Semua ini menjadi realiti kerana hubungan akrab antara Abdul Malik dan Rajinikanth yang terkenal dengan superstar itu.
Terdahulu, seramai 151 pelajar yang terdiri daripada murid darjah satu hingga tingkatan lima yang tidak berkemampuan dan sangat memerlukan di Kuala Lumpur diberikan peluang untuk membeli belah sendiri barangan persekolahan bernilai RM200.00 setiap seorang.
Selepas ini, sekumpulan lagi pelajar akan menerima sumbangan seumpama itu di Pulau Pinang dalam beberapa hari lagi dan Malik Streams Corporation mempunyai perancangan untuk melaksanakan program sama seluruh negara pada masa hadapan. – MalaysiaGazette