KUALA LUMPUR – “Dia (Rafizi) tahu apa yang berlaku.. ramalannya mengenai PRU-14 juga tepat,” kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Itu reaksi ringkas berbaur sindiran Perdana Menteri terhadap kenyataan Rafizi Ramli tentang penarafan prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) baru baru ini.
Mahathir sebelum itu bersama isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali menghadiri Majlis Makan Malam Persatuan Bekas Pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid, Kedah di Nexus Bangsar South di sini malam tadi.
Rafizi sebelum itu mendakwa menerusi kaji selidiknya, penarafan kerajaan sejak PH mengambil alih tampuk pemerintahan pada 9 Mei lalu menjunam secara mendadak.
Selain itu Rafizi juga berkata, penarafan terhadap prestasi Mahathir sebagai Perdana Menteri sebanyak 72 peratus rakyat Malaysia memperakui pencapaiannya.
Kata Rafizi lagi dari kaca mata pengundi yang memberi mandat kepada PH dalam pilihan raya lalu, masyarakat sudah bosan dengan siri gelombang Ahli Parlimen UMNO yang bertindak melompat parti untuk menyertai kerajaan.
Ia sekaligus membuktikan pentadbiran PH lebih menekankan kepentingan memperkukuh dinamik penguasaan dalaman parti bukan mengotakan janji yang diberikan kepada rakyat, dakwa bekas Ahli Parlimen Pandan itu. – MalaysiaGazette