KUALA LUMPUR – Walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menafikan dakwaan beberapa penceramah bebas ‘digam’ oleh stesen televisyen dan radio baru-baru ini, namun isu itu menjadi persendaan beberapa penceramah terbabit.
Beberapa penceramah berkenaan nyata mengeluarkan kenyataan yang menyindir berhubung sekatan itu dalam nada sinis.
Antaranya, penceramah bebas popular, Ustaz Azhar Idrus yang dilihat melemparkan komen kepada seorang teman seperjuangan dengan berkata, mana lagi penceramah seperti mereka hendak mencari rezeki setelah ‘digam’.
“Haha.. Padan muka ustaz.. Balik dr Mekah nnt nak makan apa?
“Makan pasir la jwbnya lps kena bock (gam) di TV,” katanya di Facebook Abdullah Khairi.
Ustaz Azhar Idrus antara 10 nama penceramah bebas yang didakwa disekat daripada berceramah.
Antara lain adalah Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani, Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias, Syamsul Amri Ismail atau Shamsul Debat, Dr. Redzuan Tee, Ustaz Abdullah Khairi, Ustazah Morhafizah Musa, Ustaz Zamihan Mat Zin, Ustaz Amirul Amin (PU Amin) dan Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau lebih sinonim dengan sapaan PU Syed.
Komen Azhar Idrus membalas status Abdulah Khairi mengenai statusnya dengan berkata: “Jumpa geng kena block d TV…d Mekah,” katanya.
Beliau merujuk kepada Ustaz Shamsul Debat yang juga disekat daripada keluar di kaca tv mulai Januari ini.
Pencetus Ummah (PU) Amin juga secara sinis membalas komen Azhar Idrus.
“Hahaha padan mukeeee kiterrrr,” katanya di Facebook.
Mujahid pada 14 Disember lalu, menafikan pernah menyekat walaupun terdapat sesetengah ustaz, tidak memberikan pandangan-pandangan yang baik.
Dalam pada itu, Mujahid berkata, beliau tidak tahu sama ada senarai tersebut ditularkan bagi menimbulkan keraguan mahupun provokasi.
Sehubungan itu katanya, tidak timbul isu hendak mengganggu periuk nasi orang lain dan beliau turut menasihatkan para penceramah supaya tidak menjaja agama untuk mencari rezeki. -MalaysiaGazette
Kazim Elias, Shamsul Debat, Redzuan Tee dilarang muncul di stesen TV dan radio?