KUALA LUMPUR – Penyanyi Shima ibarat ditimpa malang kerana kini menderita penyakit serentak iaitu sakit bahagian tulang belakangnya akibat cakera gelincir (slip disc) dan penyakit saraf.
Dugaan itu menyebabkan wanita yang popular dengan lagu Teringin dibelenggu kesempitan hidup kerana perlu menanggung kos rawatan penyakitnya yang tinggi setiap bulan.
Shima atau nama sebenarnya, Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman, Shima mengakui sudah lama menderita ‘slip disc’ itu malah terpaksa bergantung kepada ubat tahan sakit.
“Saya perlu bergantung dengan ubat doktor kerana sebelum ini saya dicadangkan menjalani pembedahan.
“Namun masalahnya pembedahan itu perlu dijalankan di bahagian kerongkong dan kesannya kelak saya tidak boleh menyanyi lagi pada masa akan datang,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Dia ditemui pada Majlis Ulang Tahun TOP5 Detergent keempat dan penyampaian sumbangan kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim & Asnaf Qaseh Ibu Ampang serta Madrasah Tahfiz Ar-Ruqaiyyah.
Shima diundang ke majlis itu untuk menghiburkan tetamu yang hadir.
Bagi mencari pendapatan lain gara-gara kurang tawaran persembahan, dia mula berniaga nasi campur sejak sebulan lalu.
“Saya buka Warung Teringin dan operasi bermula jam 11 pagi hingga petang hanya untuk makanan dibawa pulang atau ‘tapau’.
“Saya bukan hendak menagih simpati apabila buka gerai tetapi kerana perlu mencari pendapatan lain untuk menanggung kos rawatan kedua-dua penyakit saya.
“Lagi pun tawaran persembahan kurang dan jadi biarlah saya meniaga pada waktu terluang,” katanya yang masih sedia meerima undangan menyanyi jika sesuai dengan masa dan bayaran.
Pada era 1990-an, Shima turut terkenal dengan rangkaian lagu seperti Di Sebalik Sejuta Wajah, Setelah Aku Kau Miliki, Luka Dilukai dan Malam Yang Pasrah. – MalaysiaGazette